Siakap Keli
Kredit gambar: Google

Bayaran Bulanan Serendah RM 300, Ini Cara Nak Mohon Rumah Mesra Rakyat & Dokumen-dokumen Yang Diperlukan

Selalu kita terdengar keluhan beberapa pihak tentang harga rumah yang semakin hari semakin tinggi nilainya, tambahan lagi keadaan ekonomi yang masih tidak menentu pada hari ini.

Namun sebagai rakyat, kita sebenarnya kena tahu bahawa terdapat banyak peluang yang disediakan kerajaan, khususnya dalam memiliki rumah sendiri pada harga yang mampu milik.

Tahukah anda, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melancarkan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi tujuan membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang, tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Jika anda tergolong dalam kumpulan yang dinyatakan, seperti nelayan, petani kampung atau keluarga miskin, program ini sangat bermanfaat untuk anda.

Bagi keterangan program RMR ini, anda boleh rujuk jadual di bawah.

Syarat kelayakan

Anda mestilah seorang warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas. Pendapatan bulanan seisi rumah pulak tidak boleh melebihi RM5,000 sebulan.

Selain itu, pemohon dan pasangan mestilah tidak memiliki rumah sendiri, atau (hanya) memiliki rumah usang dan tidak sempurna sahaja.

Sementara itu, tanah atau tapak yang akan dibangunkan RMR hendaklah bersesuaian dan bebas daripada sebarang gadaian atau bebanan ke atasnya.

Jika pemohon bukan tuan punya tanah, maka mestilah memohon kebenaran daripada pemilik tanah tersebut terlebih dahulu.

Keluasan tanah juga mestilah tidak kurang daripada 3,600 kaki persegi (tertakluk pada reka bentuk), selain turut tertakluk pada peruntukan kewangan.

Difahamkan, bagi pemohon dari Semenanjung yang berumur melebihi 42 tahun, pemohon kedua yang berumur antara 18 hingga 42 tahun diperlukan.

Manakala bagi pemohon dari Sabah, Sarawak dan kawasan pulau yang melebihi 38 tahun, pemohon kedua yang berumur antara 18 hingga 38 tahun diperlukan.

Contoh reka bentuk & pelan lantai

Berikut adalah contoh reka bentuk rumah RMR beserta pelan lantai mengikut kategori.

Sumber: SPNB
Sumber: SPNB
Sumber: SPNB

Turutan permohonan

Ikuti tujuh langkah permohonan yang akan anda buat ini:-

1. Buka laman web di http://rmr.spnbonline.com.my.

2 Klik pendaftaran baru. Isikan borang pendaftaran dengan lengkap.

3. Penerimaan Login ID dan kata laluan. Kata laluan akan dihantar kepada pemohon.

4. Log masuk ke laman utama. Gunakan login ID (email) dan kata laluan yang diberikan untuk memulakan permohonan RMR.

5. Melengkapkan borang online. Isi maklumat ke dalam sistem.

6. Selesai mengisi borang online. Klik ‘Selesai Pendaftaran Borang’ dan ‘Cetak Borang’.

7. Majukan borang dan dokumen kepada SPNB. Memajukan borang berserta dokumen ke pejabat cawangan SPNB yang berdekatan.

Pemohonan juga boleh dibuat dengan mendapatkan Borang Permohonan RMR di cawangan SPNB dan dimajukan kembali kepada SPNB selepas permohonan dilengkapkan.

Dokumen yang diperlukan:

  1. Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan)
  2. Salinan kad pengenalan tuan tanah
  3. Salinan kad pengenalan pemohon kedua (jika berkaitan)
  4. Salinan geran hak milik tanah dan sijil carian rasmi dari Pejabat Tanah yang terbaru
  5. Slip gaji terkini (tiga bulan) / surat akuan sumpah pendapatan / surat pengesahan pendapatan pemohon / pemohon kedua
  6. Surat akuan sumpah / surat pengesahan tidak memiliki rumah atau memiliki rumah yang usang
  7. Surat akuan kebenaran pelepasan tuan tanah
  8. Salinan sijil nikah pemohon
  9. Borang laporan tapak bergambar

Untuk makluman, surat pengesahan pendapatan atau yang tidak memiliki rumah usang perlu disahkan melalui penghulu/ketua kampung atau Pegawai Profesional Kelas A.

SPNB berhak untuk mendapatkan dokumen tambahan, tertakluk pada keperluan dari semasa ke semasa.

Tanggungjawab pemohon

Setiap pemohon perlulah mengisi dan melengkapkan borang permohonan. Selain itu, jalan masuk ke tapak dan tapak pembinaan hendaklah disediakan mengikut spesifikasi.

Ketika projek dijalankan, pemohon juga hendaklah menyediakan sumber bekalan air dan elektrik, selain turut membuat penyambungan bekalan utama ke bangunan.

Dalam masa sama, pemohon juga perlu membuat pinjaman kepada bank atau institusi kewangan, sekiranya perlu.

Sumber: Syarikat Perumahan Negara Berhad

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.