Gambar: Bernama

Pharmaniaga Jangka Hasilkan Vaksin Halal Dalam Masa 4-5 Tahun

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Pharmaniaga Bhd menjangkakan untuk menghasilkan vaksin halalnya dalam tempoh empat ke lima tahun ini.

Timbalan Pengarah Urusannya Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata terdapat potensi untuk memasarkan vaksin halal di seluruh dunia.

“Kami akan menghasilkan vaksin sendiri selepas menjalani pelbagai program persediaan,” katanya pada pengumuman keputusan dan prestasi kewangan suku ketiga 2020 syarikat itu menerusi taklimat media dalam talian hari ini.

Mohamed Iqbal berkata projek vaksin halal itu telah menunjukkan kemajuan dengan persetujuan diterima untuk Pneumococcal Conjugate Vaccine yang dimulakan bersama Serum Institute of India Private Ltd, syarikat farmaseutikal dan bioteknologi terkemuka di India.

Sementara itu, Pengarah Urusan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata pembangunan fasiliti vaksin halal pertama di dunia dijangka siap pada 2022.

“Kami menjangkakan fasiliti di Puchong, Selangor menjadi fasiliti vaksin halal pertama di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain,  Zulkarnain berkata persediaan bagi proses pengisian dan penyudahan vaksin COVID-19 berjalan lancar.

Pharmaniaga menjangkakan vaksin COVID-19, yang kini menjalani ujian klinikal di beberapa buah negara seperti India dan China, boleh didapati di Malaysia pada suku pertama atau kedua 2021, katanya.

Mengenai unjuran syarikat, Zulkarnain berkata vaksin COVID-19 akan meningkatkan pendapatan kumpulan itu tahun depan.

“Kami berada pada landasan yang baik tahun ini dan berharap untuk memperluaskan perniagaan kami dalam sektor swasta pada 2021,” katanya.

Semalam, dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Pharmaniaga menyatakan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM1.44 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2020 berbanding RM481,000 pada suku ketiga tahun lepas susulan permintaan meningkat terhadap peralatan perlindungan.

Bagaimanapun, hasil menyusut kepada RM624.8 juta daripada RM716.85 juta sebelumnya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen