Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Tujuh Dilapor Maut Selepas Minum ‘Hand Sanitiser’, Dipercayai Kerana Kehabisan Alkohol Dalam Sebuah Parti

Tujuh orang dilaporkan maut manakala dua lagi berada dalam keadaan koma selepas meminum cecair pembasmi kuman di Rusia, lapor Daily Mail.

Sekumpulan sembilan orang itu dilaporkan telah meminum cecair pembasmi kuman tersebut kerana kehabisan alkohol di sebuah parti di kampung Tomtor yang terletak di daerah Tattinsky, Rusia pada hari Ahad.

Tiga mangsa pertama insiden itu adalah merupakan seorang wanita berusia 41 tahun dan dua lelaki berusia 27 dan 59 tahun. Enam yang lain telah diterbangkan oleh pesawat evakuasi perubatan ke ibu kota wilayah Yakutsk.

Pada Jumaat, tiga lagi lelaki yang berusia 28, 32 dan 69 telah dilaporkan meninggal dunia. Satu lagi kematian telah dilaporkan hari ini.

Pegawai kesihatan awam persekutuan, Rospotrebnadzor melaporkan: “Sembilan kes keracunan akibat ‘hand sanitiser’ telah disahkan, termasuk tujuh kes kematian.”

Pihak pendakwa raya negeri menyatakan: “Keracunan itu terjadi akibat daripada meminum hand sanitiser.”

Pengunjung parti itu difahamkan meminum hand sanitiser yang mengandungi sebanyak 69 peratus methanol.

Sehubungan dengan itu, pegawai kesihatan memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk tidak meminum mana-mana cecair antiseptik.

Ekoran daripada itu, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat kejadian tersebut.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right