Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

Sabah FC Pamer Logo Rasmi Hasil Karya Peminat

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) — Kelab bola sepak Sabah (Sabah FC) hari ini mempamerkan logo rasmi kelab di laman Facebooknya hasil karya peminat yang dipilih daripada penyertaan pertandingan mencipta logo kelab berkenaan.

Sabah Football Club Sdn Bhd, menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan logo hasil karya Firzaruddin Zainal Abiddin itu selain memenuhi syarat reka bentuk, dipilih hasil undian terbanyak peminat di laman Facebook pasukan berkenaan selepas sesi pertandingan bermula Sabtu lalu dan berakhir jam 12.30 tengah hari semalam.

“Sabah FC mempamerkan logo kekal Sabah FC dengan rasmi. Tahniah diucapkan kepada pemenang dan diucapkan ribuan terima kasih kepda kesemua peserta atas sambutan yang sangat menggalakkan khususnya penyokong Sabah FC,” menurut kenyataan itu.

Logo berbentuk bulat berasaskan warna rasmi bendera negeri Sabah iaitu merah, putih dan tiga ‘shade’ biru memaparkan Gunung Kinabalu sebagai simbol utama dengan perkataan ‘Sabah Football Club’ selain simbol bola sepak dengan bunga padi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Datuk Verdon Bahanda mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyertai pertandingan itu dan tahniah kepada pemenang.

“Logo ini akan tersemat di dada setiap pemain dan penyokong Sabah FC mulai hari ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'