Siakap Keli
Kredit: Google

Lelaki Iraq Dan Bukan Bangladesh Ditahan Pukul Mangsa Dengan Batang Besi

JOHOR BAHRU, 29 Nov (Bernama) — Polis berjaya menahan seorang lelaki warga Iraq berusia 41 semalam bagi membantu siasatan insiden memukul seorang lelaki dengan sebatang besi di Jalan Tebrau, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata suspek yang sebelum ini disangka rakyat Bangladesh, ditahan pada jam 7.20 malam di kaki lima sebuah premis di Taman Sri Tebrau, di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen peribadi. Menerusi akuan secara lisan, dia mengaku dirinya adalah warga Iraq,” katanya menerusi kenyataan, di sini, malam ini.

Mohd Padzli berkata polis turut merampas sebatang besi panjang dipercayai senjata yang digunakan untuk memukul mangsa dalam kejadian jam 11.35 malam itu.

Terdahulu, tular dalam laman sosial satu video rakaman menunjukkan suspek memukul seorang lelaki sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan dan kaki dengan sebatang besi.

Mangsa yang berusia 39 tahun telah menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.