Siakap Keli
Gambar via Bernama

Komuniti Perniagaan Labuan Tidak Babit Perbincangan Cukai – ALTC

LABUAN, 30 Nov — Persatuan Syarikat-Syarikat Amanah Labuan (ALTC) mendakwa kalangan komuniti perniagaan di Labuan tidak dibawa berbincang mengenai perubahan struktur cukai di wilayah tersebut.

Pengerusinya, Datuk Chin Chee Kee berkata perubahan oleh kerajaan itu membabitkan pilihan bayaran cukai sebanyak tiga peratus daripada keuntungan bersih yang diaudit atau RM20,000 ke atas satu-satunya pilihan bayaran tiga peratus bagi keuntungan bersih diaudit.

Ini bagaimanapun sekiranya entiti terbabit mematuhi Peraturan Keperluan Perniagaan (SR) yang memerlukan pekerja sepenuh masa dan jumlah perbelanjaan operasi tertentu di Labuan.

“SR ini mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baik untuk Labuan kerana ia menggalakkan pekerjaan serta berbelanja di wilayah itu. Pada masa sama, ia juga boleh meningkatkan permintaan terhadap ruang pejabat selain penginapan untuk menempatkan pekerja sepenuh masa yang digaji oleh entiti Labuan sebagaimana ditetapkan oleh SR.

“Malangnya, SR itu mengecualikan majoriti entiti Labuan yang terbabit dalam perniagaan am dan perkhidmatan dalam perbincangan mengenainya. Malah, entiti ini juga tidak dapat mematuhinya walaupun mereka mahu berbuat demikian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Chin juga mendakwa mereka terbabit berdepan dilemma dengan keuntungan yang diraih perlu dicukai sebanyak 24 peratus mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 serta tertakluk kepada semua peruntukan akta tersebut.

“Ini bukanlah apa yang mereka inginkan apabila memutuskan untuk membuka perniagaan di Labuan dahulu…ada di antara mereka yang terpaksa membayar cukai sehingga RM15 juta berbanding tiga peratus atau RM20,000 sebelum ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan perubahan mendadak peraturan cukai itu sebagai mengejutkan dan ketika mereka terbabit tidak dapat menstruktur semula operasi masing-masing.

Peraturan SR itu dikuatkuasakan pada 1 Jan, 2019 dan diwartakan pada 31 Dis, 2018.

Sumber: Bernama

Nabila

Memilih untuk menjadikan pena sebagai duri yang memberi manfaat kepada manusia