KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) — Seorang pemandu wanita warga asing secara tidak sengaja merempuh premis kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Bandar Bandar Baru Bangi dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 2.20 petang, wanita berusia 33 tahun itu telah masuk ke dalam kereta Proton Saga bertransmisi manual berkenaan lalu menghidupkan enjin.
“Bagaimanapun, tanpa disedari kenderaan berkenaan masih dalam gear dan bukan free (neutral) menyebabkan ianya melonjak ke hadapan dan melanggar cermin kaca kedai lalu merempuh masuk ke dalam kedai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kedai itu mengalami kerosakan cermin hadapan manakala kenderaan itu juga turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan tetapi pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan
Mohd Zaid turut menasihat pemandu agar berhati-hati terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi selain berkata pengusaha stesen minyak juga mungkin perlu memikirkan ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan premis kedai dirempuh kenderaan.
Sumber: BERNAMA