Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Remaja Sebabkan Lima Kematian Dihantar Ke Sekolah Henry Gurney Selama Enam Tahun, Denda RM1,500
KUCHING, 17 Jun (Bernama) — Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan seorang remaja lelaki menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney selama enam tahun kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan lima kematian dalam satu kemalangan di sini pada Januari lepas.
Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan remaja berusia 15 tahun itu menjalani hukuman tersebut sehingga mencapai usia 21 tahun, selain dikenakan denda RM1,500 atau dipenjara dua bulan atas kesalahan memandu kenderaan semasa berumur bawah 16 tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Ling selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji.
Remaja terbabit, yang membuat pengakuan bersalah pada 14 Mei lepas, tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan serta Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu semasa berumur kurang daripada 16 tahun.
Mohd Fillanny ketika ditemui pemberita memaklumkan pihak pendakwaan memohon hukuman yang lebih berat, termasuk penjara, memandangkan kejadian tersebut melibatkan kehilangan lima nyawa dan wajar dijadikan pengajaran kepada orang ramai berikutan peningkatan kes kemalangan di Kuching.
Tertuduh juga diarahkan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
Dalam kemalangan yang berlaku pada 14 Jan lepas di Jalan Stutong Baru di sini, kereta yang dipandu remaja tersebut hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan serta dua motosikal.
Kejadian itu mengakibatkan empat mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
BACA: Pelbagai Kaedah Cari Guru Tidak Hadir Bertugas Sebelum Ditemukan Maut
BACA: Dua Maut Ditembak Sekumpulan Lelaki Bertopeng Di Cheras
BACA: Rakyat Malaysia Di Iran Dinasihat Keluar Segera – KLN
Sumber: BERNAMA