Rakyat Malaysia Di Iran Dinasihat Keluar Segera – KLN
Kementerian Luar Negeri (KLN) menasihatkan semua rakyat Malaysia yang masih berada di Iran supaya meninggalkan negara itu dengan segera menggunakan apa jua kaedah yang selamat dan tersedia.
Nasihat tersebut dikeluarkan susulan keadaan semasa yang semakin meruncing akibat ketegangan yang memuncak antara Iran dan Israel sejak Jumaat lalu.
“Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan agar meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan Kementerian ini,” katanya.
KLN turut memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Tehran kini sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Iran.
“Usaha ini telah dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun 2025 yang telah memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau tersebut,” tambahnya.
Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa pihak Kedutaan sedang berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang telah berdaftar di Iran dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,” katanya.
Bagi sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan di talian +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602.
Mereka juga boleh menghantar e-mel ke alamat [email protected] atau [email protected].
Untuk info, alamat Kedutaan Besar Malaysia di Tehran ialah No.25, Lorong Kedua, Jalan Zarafshan Utara, Shahrak-e-Gharb.
BACA: Malaysia Perlu Tenaga Nuklear Untuk Capai Sasaran Sifar Bersih 2050
BACA: Iran Lancar Serangan Peluru Berpandu Terbaharu Ke Atas Israel
BACA: Thailand Siap Sedia Pesawat, Pindah Rakyat Dari Israel Dan Iran
Sumber: Astro Awani