Malaysia Perlu Tenaga Nuklear Untuk Capai Sasaran Sifar Bersih 2050
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Malaysia perlu meneliti semula keseluruhan strategi tenaga negara, termasuk kemungkinan menggunakan tenaga nuklear bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
“Kita perlu mengekalkan kemampuan dari segi kos, kelestarian serta jaminan bekalan tenaga. Persoalannya dari mana kita akan mendapatkan sumber bekalan asas?
“…walaupun tenaga nuklear bukan dikategorikan sebagai tenaga boleh diperbaharu, ia tetap dianggap antara sumber tenaga paling bersih. Jadi, pada pandangan saya, tanpa tenaga nuklear, kita mungkin tidak mampu mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Akmal Nasrullah merupakan seorang daripada panel pada sesi dialog bertajuk Delivering Malaysia’s Energy Transition sempena Persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada 2023, tumpuan bukan sahaja pada aspek pengeluaran atau peralihan tenaga tetapi turut melibatkan perubahan dalam corak penggunaan tenaga.
NETR menyasarkan penjanaan 70 peratus tenaga boleh diperbaharu menjelang 2050 dengan tenaga suria dan hidro sebagai sumber utama, manakala gas asli berfungsi sebagai bahan api peralihan sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata kerajaan dan orang ramai perlu bersikap realistik dalam menerima penggunaan tenaga nuklear bagi membantu negara mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih.
“Perlu diingat bahawa penggunaan tenaga nuklear adalah sesuatu yang perlu pertimbangan sewajarnya.
“Kita sememangnya mempunyai perancangan namun apabila kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan penggunaan tenaga nuklear secara menyeluruh, diharapkan bukan sahaja kerajaan malah rakyat juga bersedia menerima bahawa bagi mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050, tenaga nuklear adalah antara pilihan,” katanya.
BACA: Israel Beri ‘Amaran’ Kosongkan Daerah 3, Tehran
BACA: Trump Gesa Hampir 10 Juta Penduduk Tinggalkan Tehran Segera
BACA: Iran Lancar Serangan Peluru Berpandu Terbaharu Ke Atas Israel
Sumber: BERNAMA