MACHANG, 24 Oktober 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong agenda pembangunan rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI di Kampung Pemanok, Batu 31, Machang, Kelantan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penambahbaikan infrastruktur, penyediaan kemudahan awam dan pembangunan komuniti secara inklusif.
Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin. Pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam menyokong kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti. Selain menambah baik kemudahan asas, usaha ini turut memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat bagi memastikan keperluan penduduk diberi perhatian dan ditangani secara berkesan.
Menerusi inisiatif ini, Nuklear Malaysia merancang dan memulakan projek penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan awam di Kampung Pemanok dengan kerjasama agensi kerajaan, pemimpin setempat dan penduduk kampung. Majlis Daerah Machang turut membantu pelaksanaan projek yang merangkumi penambahbaikan sistem saliran, pelebaran laluan ke tanah perkuburan serta pembaikan laluan dan struktur pembetung bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan penduduk.


Selain itu, Nuklear Malaysia turut menyokong usaha penambahbaikan kemudahan dan keceriaan Kampung Pemanok melalui kerjasama dengan Madrasah Haji Ismail. Menerusi inisiatif ini, pelaksanaan naik taraf merangkumi pemasangan lampu solar, pembaikan pagar tanah perkuburan, penggerudian sumber air tambahan, pembinaan wakaf serta penyediaan mercu tanda Kampung Angkat MADANI.
Kemudahan yang disediakan ini diharap dapat meningkatkan pencahayaan di kawasan kampung, membantu memenuhi keperluan bekalan air khususnya ketika musim kemarau, memperindah persekitaran serta menyediakan ruang yang lebih selesa untuk aktiviti kemasyarakatan. Secara keseluruhannya, projek-projek ini dijangka memberi manfaat kepada penduduk melalui persekitaran yang lebih teratur, selamat dan kondusif.
Selain memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, inisiatif Kampung Angkat MADANI ini turut dimanfaatkan oleh Nuklear Malaysia sebagai platform untuk memperluas usaha advokasi dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sains, teknologi dan inovasi, khususnya teknologi nuklear untuk tujuan aman, selamat dan bertanggungjawab.
Sempena majlis peluncuran tersebut, Nuklear Malaysia turut mengadakan pameran produk dan perkhidmatan serta aktiviti interaktif berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Aktiviti ini memberi peluang kepada pengunjung, termasuk golongan muda untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian aplikasi teknologi nuklear merentasi pelbagai bidang serta sumbangannya kepada kehidupan seharian.
Pendekatan ini turut menyokong aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030, khususnya dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap manfaat teknologi nuklear dan membudayakan sains, teknologi serta inovasi.
Melalui inisiatif ini, Nuklear Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam, malah memperluas peranannya dalam mendekatkan hasil penyelidikan dan teknologi negara kepada masyarakat selaras dengan slogan “Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R). Seiring dengan semangat Malaysia MADANI, usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan progresif, di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat melalui pendekatan pembangunan yang inklusif dan memberi impak positif kepada kehidupan seharian.


