Melibatkan 42 buah Sekolah Rendah Agama dan KAFA dalam Kem ATM seluruh Malaysia
Peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.05 juta bagi meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran
Lebih 10,300 pelajar dan guru terima manfaat
MELAKA, 15 OKTOBER 2026 – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”) bersama Syarikat Kumpulannya terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (“ATM”) menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI 2026 yang memanfaatkan 42 buah Sekolah Rendah Agama (“SRA”) dan Kelas AlQuran dan Fardu Ain (“KAFA”) dalam kem tentera di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.05 juta.

Peluncuran program tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan bersempena dengan lawatan rasmi beliau ke Kem Terendak, Melaka, hari ini.
Meneruskan kejayaan pelaksanaan program ini pada tahun 2025 yang melibatkan 38 buah sekolah rendah dan menengah dalam kem ATM, inisiatif tahun ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan prasarana sekolah agama dan KAFA bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif. Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk keluarga anggota tentera.
Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin berkata, usaha meningkatkan kesejahteraan warga ATM perlu merangkumi bukan sahaja kebajikan anggota yang sedang berkhidmat, malah keperluan keluarga mereka, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemudahan kehidupan seharian.
“Anggota ATM memikul tanggungjawab besar dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru, menjadi tanggungjawab ekosistem Kementerian termasuk LTAT untuk memastikan kebajikan keluarga mereka, khususnya pendidikan anak-anak turut diberikan perhatian sewajarnya. Program seperti Sekolah Angkat MADANI membuktikan bahawa usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat memerlukan kerjasama menyeluruh antara Kerajaan, agensi dan sektor korporat. Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, malah membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak warga ATM untuk membina masa depan yang lebih cerah,” ujar beliau. UNTUK EDARAN SEGERA
Bersempena lawatan tersebut, YB Menteri Pertahanan turut meninjau Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (“JAIM”) di Kem Terendak yang merupakan salah sebuah dari sekolah angkat LTAT menerusi Program Sekolah Angkat MADANI 2026. Melalui program ini, LTAT memperuntukkan sebanyak RM35,000 bagi menaik taraf kemudahan surau untuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa.
Ketua Eksekutif LTAT, YBhg. Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, “Sebagai institusi pengurusan dana di bawah Kementerian Pertahanan, LTAT mempunyai mandat yang jelas. Namun, tanggungjawab kami melangkaui pengurusan simpanan dan persaraan warga ATM. Kami percaya kesejahteraan mereka turut merangkumi kebajikan keluarga dan masa depan anak-anak. Justeru, melalui Program Sekolah Angkat MADANI dan Kem Santuni MADANI, kami komited untuk menyediakan kemudahan pendidikan dan prasarana komuniti yang lebih baik demi meningkatkan kualiti hidup warga ATM serta keluarga mereka.”

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan Program Sekolah Angkat MADANI. Selaras dengan aspirasi GEAR-uP, inisiatif ini mencerminkan komitmen LTAT untuk memperkukuh kesejahteraan warga ATM dan keluarga melalui penyediaan persekitaran pendidikan yang lebih baik demi masa depan generasi akan datang,” katanya lagi.
Dalam lawatan berasingan ke Kem Sungai Udang, Melaka, YB Menteri Pertahanan turut meninjau tapak pelaksanaan Program Kem Santuni MADANI serta menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM110,000 bagi menaik taraf kemudahan gimnasium untuk kegunaan anggota tentera yang menetap di dalam kem tersebut.
Program Kem Santuni MADANI 2026 merupakan kesinambungan inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun sebelumnya dan telah dilancarkan oleh YB Menteri Pertahanan sempena Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan pada 13 Julai 2026 dengan peruntukan sebanyak RM600,000. Melalui program ini, LTAT dan Syarikat Kumpulan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur komuniti di enam kem ATM bagi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti kepada anggota serta keluarga mereka.
