KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER 2026 – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini meluncurkan Strategi Etika, Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (SETIA) 2026–2030, memperkukuh komitmennya terhadap amalan tadbir urus yang baik, perlindungan kepentingan pencarum serta memastikan kelestarian dana pencarum terus terpelihara.
Peluncuran ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan LTAT menyempurnakan 100% kesemua 30 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022–2026. SETIA menandakan fasa seterusnya dalam usaha berterusan LTAT untuk memperkukuh integriti institusi, meningkatkan akauntabiliti serta membudayakan amalan beretika dalam setiap aspek operasi dan keputusan pelaburannya.

Sebagai institusi yang diamanahkan untuk menguruskan simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT percayabahawa integriti dan tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam melindungi kepentingan pencarum serta memastikan setiap tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti. Melalui SETIA, LTAT komited memperkukuh amalan tadbir urus yang menjadi landasan dalam membuat keputusan secara bertanggungjawab, pengurusan amanah yang berkesan serta kemampanan institusi untuk jangka panjang.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi, menegaskan bahawa kepercayaan yang diberikan oleh anggota ATM kepada LTAT hadir dengan tanggungjawab yang amat besar.
“Kepercayaan yang diberikan oleh anggota ATM kepada LTAT merupakan satu amanah yang amat besar. Setiap keputusan pelaburan, setiap perbelanjaan dan setiap tindakan mesti berpaksikan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme demi melindungi kepentingan mereka serta masa depan yang telah diamanahkan kepada kami.
“Kami mengakui bahawa LTAT sebagai sebuah institusi pernah berdepan dengan cabaran pada masa lalu, yang sebahagiannya telah menguji keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus dan integriti institusi ini. Perkara tersebut merupakan pengajaran yang perlu kami akui, ambil iktibar dan pastikan tidak berulang.
“Kami tidak boleh mengubah masa lalu, namun kami mampu dan mesti memastikan bahawa masa lalu tidak menentukan hala tuju masa depan kami. LTAT tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran piawaian etika. Dalam soal integriti, tiada sebarang pengecualian dan sama sekali tiada kompromi,” katanya.
Kerangka pelaksanaan SETIA selama lima tahun ini merangkumi lima teras strategik dan 25 inisiatif yang dirangka bagi memperkukuh pengurusan risiko rasuah, meningkatkan ketelusan serta memperkasakan akauntabiliti. Kejayaan pelaksanaannya bergantung pada komitmen bersama seluruh warga LTAT, dengan memastikan integriti menjadi tanggungjawab setiap individu di semua peringkat organisasi.
Majlis peluncuran yang diadakan bersempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2026 itu turut dihadiri Pengerusi LTAT, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara); Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Integriti LTAT, YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad; serta Pengarah Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato’ TPj Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim.

