Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nuklear Malaysia Komersialkan 19 Produk, Perkhidmatan Teknologi Nuklear

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merekodkan 19 produk dan perkhidmatan yang dikomersialkan, 44 perjanjian pengkomersialan serta 41 kolaborasi bersama pelanggan industri bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Nuklear Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu diketengahkan sempena Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) dan Technology Preview & Showcase (TPS) 2026 yang berlangsung pada 28 dan 29 Oktober.

Program berkenaan menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi tempatan serta memperluas kerjasama antara penyelidik, pemain industri dan agensi kerajaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata nilai eksport produk tempatan berkaitan teknologi nuklear yang mencapai RM6.21 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 membuktikan potensi ekonomi teknologi berkenaan.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memperkukuh kerjasama dengan industri bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan, membangunkan produk berteknologi tinggi dan memperluas pasaran teknologi tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Nuklear Malaysia, TPS 2026 memberikan tumpuan kepada usaha menghubungkan hasil penyelidikan dengan keperluan pasaran menerusi pameran teknologi, sesi padanan perniagaan Nuklear Malaysia BizMatch serta perkongsian kepakaran dan peluang pengkomersialan.

Antara inovasi yang telah dikomersialkan ialah benih padi NMR152, produk biobaja, UVGI LembayUVng dan NuRust yang mempunyai aplikasi dalam sektor pertanian, kesihatan serta industri.

Pembangunan produk berkenaan memperlihatkan keupayaan penyelidikan berasaskan sains dan teknologi nuklear diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal untuk pelbagai sektor ekonomi.

Selain pengkomersialan teknologi, Nuklear Malaysia turut menyediakan perkhidmatan teknikal kepada industri dengan kira-kira 2,200 pelanggan aktif dan purata 5,900 perkhidmatan teknikal setiap tahun.

Menurut kenyataan itu, keupayaan berkenaan mencerminkan peranan agensi tersebut dalam menyokong keperluan teknologi dan pembangunan industri tempatan.

Sementara itu, HINM 2026 turut memberikan pengiktirafan terhadap kecemerlangan penyelidikan dan inovasi menerusi Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan.

Lebih 50 penyertaan diterima bagi anugerah itu tahun ini, dengan 24 daripadanya berjaya ke peringkat akhir. Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran logo rasmi baharu anugerah tersebut.

Bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat (NUR)”, program dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk klinik harta intelek, pameran teknologi, lawatan ke fasiliti penyelidikan, program advokasi nuklear, Sudut Sains dan aktiviti interaktif bersama pelajar sekolah.

Penganjuran HINM dan TPS 2026 selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 untuk memperkukuh penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, di samping memastikan kemajuan teknologi nuklear dapat dimanfaatkan oleh industri, masyarakat serta ekonomi negara.

Intipati
  • Nuklear Malaysia mengkomersialkan 19 produk dan perkhidmatan bagi tempoh 2023 hingga 2026.
  • Nilai eksport produk tempatan berkaitan teknologi nuklear mencapai RM6.21 bilion sejak 2021.
  • HINM dan TPS 2026 memfokuskan pengkomersialan, kerjasama industri serta inovasi teknologi tempatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan