Trump Gesa Hampir 10 Juta Penduduk Tinggalkan Tehran Segera
KANADA — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa penduduk Tehran supaya segera meninggalkan ibu negara Iran susulan serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh Israel ke atas negara itu.
Gesaan itu dinyatakan menerusi akaun rasmi Truth Social milik Trump ketika beliau menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada.
“Semua orang perlu segera mengosongkan Tehran!” ringkas Trump.
Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan semakin memuncak di rantau Asia Barat, dengan hampir 10 juta penduduk berada di Tehran. Israel mendakwa serangan yang dilancarkan bertujuan memusnahkan program nuklear Iran yang dikawal oleh kepimpinan ulama negara itu.
Terdahulu, Israel turut mengeluarkan notis pemindahan kepada penduduk di salah satu daerah di Tehran, mencerminkan taktik yang digunakan di Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang menyaksikan jutaan penduduk Palestin dipindahkan.
Trump sebelum ini enggan mengesahkan sama ada Amerika Syarikat akan menyertai tindakan ketenteraan Israel, namun menegaskan Washington tidak terlibat dalam serangan awal tersebut.
Ketika ditanya wartawan di sidang G7 yang dijangka berakhir Selasa ini, Trump berkata: “Sebaik sahaja saya tinggalkan tempat ini, kami akan lakukan sesuatu. Tetapi saya perlu beredar dahulu.”
Sumber: AFP