Amang Seksual: Penyanyi Dan Pelakon Terkenal Tiba Di Mahkamah Pagi Ini
PUTRAJAYA — Penyanyi dan pelakon terkenal tanah air tiba di Mahkamah Sesyen pagi ini, disyaki bagi menghadapi kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, lapor Astro AWANI.
Artis lelaki berumur 28 tahun itu dilihat mengenakan sut hitam lengkap selepas tiba di mahkamah pada pukul 8.34 pagi tadi bersama ibu dan peguamnya.
Sebelum ini, polis telah menahan penyanyi itu selepas didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Menurut sumber mangsa berusia 17 tahun sebelum itu dilaporkan telah berkenalan dengan artis berkenaan di sebuah kafe tempat dia bekerja dan mereka dilaporkan telah beberapa kali berjumpa sebelum kejadian itu berlaku.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan berkata artis terbabit telah ditahan sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum dia dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan polis.
“Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya ketika dihubungi.
Sumber: Astro AWANI