Pernah tak anda berada dalam situasi apabila seseorang memarahi anda, tetapi tiba-tiba fikiran jadi kosong sehingga tidak tahu apa yang perlu dijawab?
Walaupun sebelum itu anda mempunyai banyak perkara yang ingin diperkatakan, semuanya seolah-olah hilang sekelip mata.
Malah, ada yang hanya mampu berdiam diri, menundukkan kepala atau menahan air mata ketika berhadapan situasi tersebut.
Keadaan ini bukan semestinya bermaksud seseorang itu tidak mempunyai jawapan atau tidak berani mempertahankan diri.
Sebaliknya, reaksi tersebut boleh berkait rapat dengan cara otak bertindak balas terhadap tekanan dan ancaman emosi.
Namun, tahukah anda dari sudut psikologi, keadaan ini boleh dikaitkan dengan tindak balas stres iaitu reaksi semula jadi tubuh apabila berhadapan sesuatu yang dianggap mengancam keselamatan diri, termasuk ancaman secara emosi.
Otak Tiba-Tiba Jadi Kosong Kerana Ia Mengutamakan Keselamatan Berbanding Keupayaan Berfikir
Apabila seseorang dimarahi dengan suara tinggi atau berhadapan kata-kata yang menyakitkan, otak boleh mentafsir keadaan tersebut sebagai satu bentuk ancaman.
Betul Ke Minuman 'Zero Sugar' Lebih Baik? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Jangan Pandang Ringan Vertigo, Ini Tanda-Tanda Yang Anda Perlu Tahu
Suka Duduk Tepi Tingkap Sebenarnya Bukan Habit Biasa, Ini Penjelasan Psikologi Kena Tahu
Pelakon Suara Dragon Ball Desak AI Tanpa Izin Dihentikan
Siri Anime Bleach Rasmi Tamat Selepas 22 Tahun, Peminat Ucap Selamat Tinggal
Situasi ini mengaktifkan tindak balas stres yang menyebabkan tubuh melepaskan hormon dan bahan kimia seperti adrenalin, noradrenalin serta kortisol.
Pada ketika ini, bahagian otak yang dikenali sebagai prefrontal cortex boleh mengalami gangguan fungsi sementara.
Bahagian tersebut memainkan peranan penting dalam proses pemikiran rasional, membuat keputusan, mengawal emosi dan mengingati maklumat dalam jangka pendek atau working memory.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Reviews Neuroscience, tekanan akut boleh menjejaskan fungsi bahagian depan otak sehingga menyukarkan seseorang melakukan tugasan yang memerlukan pemikiran kompleks dan fleksibel.
Sebab itulah, ketika dimarahi, seseorang mungkin sukar menyusun ayat, mengingati perkara yang ingin dijelaskan atau memberikan jawapan walaupun sebenarnya mereka tahu apa yang berlaku.
Keadaan ini juga boleh menjelaskan mengapa sesetengah individu hanya terfikir jawapan yang sepatutnya diberikan selepas keadaan kembali tenang.
Mengapa Ada Yang Terus Diam, Menangis Atau Tidak Mampu Membalas?
Selain tindak balas melawan atau melarikan diri, manusia juga boleh menunjukkan reaksi membeku atau freeze response apabila berhadapan situasi yang dirasakan mengancam.
Dalam keadaan ini, seseorang mungkin terdiam, sukar bergerak, tidak mampu memberikan respons atau sekadar menunggu situasi tersebut berakhir.
Reaksi setiap individu berbeza bergantung pada pengalaman, tahap tekanan dan bagaimana mereka mentafsir sesuatu keadaan.
Kajian sistematik yang diterbitkan dalam jurnal Psychoneuroendocrinology pada 2023 turut membincangkan bagaimana tekanan akut boleh mempengaruhi keupayaan working memory.
Kesannya boleh berlaku mengikut tempoh dan intensiti tindak balas stres.
Justeru, tidak semua orang yang berdiam diri ketika dimarahi sebenarnya bersetuju dengan apa yang diperkatakan.
Ada kemungkinan mereka sedang bergelut untuk mengawal emosi dan memproses maklumat dalam keadaan tertekan.
Jika Anda Hadapi Situasi Ini, Jangan Panik
Jika berhadapan situasi sedemikian, cuba berikan diri sedikit masa untuk bertenang sebelum memberikan respons.
Tarik nafas perlahan-lahan, jauhkan diri seketika daripada situasi yang mencetuskan tekanan jika keadaan mengizinkan dan sambung perbualan apabila sudah bersedia.
Paling penting, jangan terlalu cepat melabel seseorang sebagai lemah hanya kerana mereka tidak mampu mempertahankan diri ketika dimarahi.
Kadangkala, seseorang itu bukan tidak tahu apa yang ingin dikatakan. Sebaliknya, tekanan yang dialami ketika itu menyebabkan mereka sukar mencari kata-kata untuk meluahkan apa yang sebenarnya terbuku dalam fikiran.

