Walaupun jarang dilaporkan, kes kecurian pakaian yang sedang dijemur di ampaian bukanlah sesuatu yang mustahil untuk berlaku.
Entah apa motif di sebalik perbuatan tersebut, namun ia tetap boleh mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Bagaimanapun, lain pula kisah yang berlaku di Thailand baru-baru ini apabila seorang lelaki dirakam melakukan sesuatu yang agak luar biasa terhadap pakaian yang dijemur di luar rumah penduduk.
Lelaki tiba-tiba lipat baju penduduk
Memetik Bangkok Post, lelaki itu dilihat mengambil pakaian yang dijemur di luar rumah penduduk sebelum melipatnya dalam kejadian di daerah Phasi Charoen, Bangkok, Thailand pada Rabu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan di media sosial memaparkan lelaki berkenaan yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
Lelaki yang tidak diketahui kewarganegaraannya itu berjalan memasuki sebuah lorong sambil membawa beg galas hitam bersaiz besar.
Dia kemudian berhenti di hadapan sebuah ampaian sebelum dengan tenang mengambil dan melipat pakaian yang sedang dijemur.
Menurut hantaran di Facebook tersebut, lelaki berkenaan pada mulanya melipat pakaian milik penghuni sebuah rumah di hujung lorong sebelum beralih ke hadapan rumah individu yang memuat naik perkongsian itu.
Dia kemudiannya beredar meninggalkan lorong berkenaan.
Meskipun tiada perkara buruk yang berlaku, pengguna Facebook mengingatkan penduduk sekitar supaya lebih berhati-hati terhadap pakaian dan barangan peribadi lain yang diletakkan di luar rumah atau di sepanjang laluan pejalan kaki.

