Kadangkala, kehadiran seekor haiwan kecil mampu memberikan sedikit ketenangan, terutama ketika seseorang sedang mengunjungi tempat yang menyimpan pelbagai kenangan.
Begitulah gelagat seekor kucing putih yang mencuri perhatian apabila dilihat menemani seorang pengunjung di Pusara Tun Dr Hasmah pada 14 November lalu.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pengguna Threads @azgreenaple, kucing berkenaan dilihat berada berhampiran pengunjung tersebut seolah-olah tidak mahu berjauhan.
Malah, si bulus itu turut kelihatan mesra apabila membiarkan dirinya dibelai dengan penuh kasih sayang.
Si Bulus Setia Temani Pengunjung Di Pusara Tun Dr Hasmah, Manja Ketika Dibelai

Menerusi gambar yang dikongsikan, kucing berbulu putih itu dilihat menghampiri tangan pengunjung yang cuba membelainya.
Dengan wajah yang tenang dan gelagat bersahaja, si bulus seolah-olah selesa menerima perhatian yang diberikan.
Bukan itu sahaja, pengunjung berkenaan turut meluangkan masa memberikan snek khas untuk kucing berkenaan.
Menerusi gambar seterusnya, si bulus dilihat begitu berselera menikmati snek berperisa salmon yang dihulurkan kepadanya.
Malah, perkongsian tersebut turut mendapat perhatian seorang pengguna lain yang memberitahu bahawa dia juga pernah terserempak dengan si putih ketika berkunjung ke kawasan berkenaan.
Pengalaman itu dikongsikan menerusi ruangan komen, sekali gus menunjukkan kucing berkenaan turut meninggalkan kenangan buat pengunjung yang pernah menemuinya
Selesa Berehat, Siap Tidur Lena Atas Kerusi

Gelagat si bulus bukan sahaja mencuri perhatian ketika menerima belaian dan makanan, malah telatahnya ketika berehat turut mengundang senyuman.
Seorang pengguna lain berkongsikan pengalamannya ketika bertemu si bulus yang dijumpai berehat di atas sebuah kerusi.
“My mom and my dad pergi semalam, si putih encem tengah tidur,” katanya.
Kedudukannya yang terlentang dengan kaki terjulur itu memperlihatkan betapa selesanya si bulus berkenaan berehat.
Gelagatnya yang kelihatan selesa berehat itu nyata menambahkan lagi kecomelan haiwan berkenaan.
Walaupun pertemuan itu mungkin hanya seketika, kehadiran kucing itu menjadi satu kenangan manis buat pengunjung berkenaan.
Siapa sangka, perkara yang dianggap kecil seperti ini mampu menceriakan hari seseorang tanpa perlu melakukan sesuatu yang luar biasa.

