Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Betul Ke Minuman 'Zero Sugar' Lebih Baik? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Gambar Hiasan

Ramai yang mula beralih kepada minuman berlabel Zero Sugar, terutama minuman berkarbonat seperti cola.

Namun, ada yang beranggapan minuman ini sama sahaja bahayanya dengan minuman bergula kerana mengandungi pemanis tiruan.

Jadi, betulkah minuman ‘Zero’ pilihan yang lebih baik?

Jawapannya, ya, dari segi kandungan gula dan kalori.

Mengikut hantaran dari Public Health Malaysia, minuman berkarbonat biasa boleh mengandungi lebih 30 gram gula dalam satu tin 330 mililiter, bergantung pada jenama.

Sebaliknya, minuman Zero Sugar biasanya tidak mengandungi gula dan mempunyai sangat sedikit atau hampir sifar kalori.

Ini bermakna, menukar minuman biasa kepada versi ‘Zero’ boleh membantu mengurangkan pengambilan gula dan kalori harian.

Bagaimana Minuman ‘Zero’ Masih Manis?

Minuman ini menggunakan pemanis seperti aspartam, sucralose atau acesulfame potassium untuk memberikan rasa manis tanpa gula biasa.

Pemanis yang diluluskan dianggap selamat jika diambil dalam had yang ditetapkan.

Pemanis ini juga secara umumnya tidak meningkatkan paras gula dalam darah seperti gula biasa.

Tetapi, Ada Perkara Yang Perlu Diketahui

Walaupun kurang gula dan kalori, minuman ‘Zero’ bukan bermaksud ia sihat sepenuhnya.

  • Boleh menjejaskan gigi: Minuman berkarbonat ‘Zero’ masih berasid dan boleh menyebabkan hakisan enamel gigi jika diambil terlalu kerap.

  • Tidak semestinya menurunkan berat badan: Berat badan masih bergantung pada jumlah kalori yang diambil setiap hari.

  • Bukan pengganti air kosong: Air kosong tetap pilihan terbaik untuk diminum setiap hari.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak mengesyorkan pemanis bukan gula sebagai cara utama untuk mengawal berat badan dalam jangka panjang.

Jadi, Bolehkah Minum ‘Zero Sugar’?

Jika anda biasa minum minuman manis setiap hari, bertukar kepada versi ‘Zero’ boleh membantu mengurangkan pengambilan gula.

Tidak salah memilih alternatif yang kurang gula dan kalori. Namun, jangan anggap minuman ‘Zero’ boleh diminum secara berlebihan hanya kerana tiada gula.

Minuman ‘Zero’ boleh menjadi pilihan yang lebih baik berbanding minuman tinggi gula. Namun, air kosong tetap pilihan terbaik untuk kesihatan harian.

Intipati
  • Minuman Zero Sugar biasanya tiada gula, rendah kalori dan boleh mengurangkan pengambilan harian.
  • Pemanis seperti aspartam dan sucralose dianggap selamat jika diambil dalam had ditetapkan.
  • Minuman Zero masih berasid, tidak menjamin penurunan berat badan dan bukan pengganti air kosong.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan