Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KBS Tegas Tidak Lulus HYROX KL Jika Tajaan Syarikat Minuman Alkohol Tidak Ditarik Balik

KBS tegas tidak
Kredit: Bernama

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan meluluskan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 sekiranya tajaan syarikat minuman beralkohol yang dikaitkan dengan acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.

Ketegasan itu susulan penularan tangkap layar di media sosial yang memaparkan sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai Official Beer Partner bagi acara sukan berkenaan.

HYROX Kuala Lumpur 2026 dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Kredit: KBSMalaysia

Dalam satu kenyataan pada 4 November yang dimuat naik di Facebook KBS, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan bahawa permohonan penganjuran acara tersebut masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan pihak kementerian.

“Untuk rekod, permohonan penganjuran acara tersebut sedang diproses tetapi belum diluluskan,” katanya.

Taufiq turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah memberikan sebarang kelulusan atau menyalurkan dana kepada penganjuran acara berkenaan.

KBS Tegas Tidak Lulus HYROX KL Jika Tajaan Syarikat Arak Tidak Ditarik, Kod Sukan Selamat Larang Tajaan Minuman Beralkohol

Menurutnya, Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 dengan jelas melarang mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja atau mempromosikan aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong kementerian.

Larangan itu turut merangkumi aktiviti pengiklanan, penjualan, pemberian hadiah serta penggunaan cap dagangan syarikat berkaitan dalam penganjuran sukan.

“Semua permohonan lesen oleh syarikat yang ingin menganjurkan acara sukan melibatkan pengisytiharan oleh penganjur untuk memberi komitmen dalam pelaksanaan Kod Sukan Selamat,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, KBS menegaskan bahawa semua bentuk penajaan daripada syarikat minuman beralkohol perlu ditarik balik sepenuhnya sebelum acara berkenaan boleh dipertimbangkan untuk kelulusan.

“KBS tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Boleh Didenda Sehingga RM500,000

Dalam pada itu, Taufiq turut mengingatkan bahawa penglibatan syarikat dalam aktiviti sukan tanpa kebenaran boleh mengundang tindakan undang-undang di bawah Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Mana-mana syarikat yang melanggar peruntukan tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

KBS menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol.

“KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta,” tambahnya lagi.

Sumber:Facebook
Intipati
  • KBS menegaskan HYROX Kuala Lumpur 2026 belum diluluskan dan masih dalam proses permohonan.
  • Tajaan syarikat minuman beralkohol perlu ditarik balik sepenuhnya sebelum acara dipertimbangkan untuk kelulusan.
  • Kod Sukan Selamat melarang penajaan alkohol, tembakau dan rokok elektronik dalam sukan disokong kementerian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan