Pernahkah anda terfikir, boleh atau tidak seseorang itu bersin ketika berada dalam keadaan tidur?
Biasanya ketika kita berjaga, habuk sedikit pun boleh menyebabkan hidung terasa geli sebelum kita bersin beberapa kali.
Rupa-rupanya, manusia sebenarnya tidak boleh bersin ketika tidur.
Walaupun hidung masih terdedah kepada habuk dan debu, otak kita mempunyai cara kerja tersendiri yang menghalang refleks bersin daripada berlaku ketika seseorang sedang lena.
Menurut pakar perubatan keluarga dan genetik, Dr. Timothy Tramontana, bersin memerlukan rangsangan tertentu daripada bahagian otak yang dikenali sebagai korteks atau batang otak, lapor Cleveland Clinic.
Bagaimanapun, ketika seseorang tidur, ambang rangsangan yang diperlukan untuk mencetuskan refleks bersin menjadi lebih tinggi.
Ini bermakna seseorang perlu terjaga terlebih dahulu sebelum boleh bersin. Keadaan ini turut berlaku kepada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Kenapa Kita Tak Pernah Bersin Ketika Tidur? Otak 'Matikan' Refleks Bersin Ketika Kita Tidur

Bersin merupakan tindak balas semula jadi badan untuk mengeluarkan bahan asing atau perengsa daripada saluran hidung.
Bagaimanapun, tindak balas ini memerlukan penglibatan sistem saraf dan otak untuk mengenal pasti rangsangan yang diterima daripada hidung.
Menurut Dr. Tramontana, otak memerlukan tahap rangsangan tertentu untuk mencetuskan refleks bersin.
Ketika seseorang tidur, ambang rangsangan tersebut meningkat sehingga refleks berkenaan tidak dapat berlaku seperti biasa.
Jadi, sekiranya seseorang terjaga secara tiba-tiba sebelum bersin, kemungkinan besar tubuhnya sudah melalui proses bangun daripada tidur tanpa disedari.
Kenapa Hidung Masih Rasa Gatal Ketika Tidur?
Walaupun seseorang tidak boleh bersin ketika tidur, ini tidak bermakna hidungnya bebas daripada habuk, debu atau bahan yang boleh menyebabkan gatal.
Menurut Dr. Tramontana, bahan perengsa tersebut sebenarnya boleh kekal di dalam saluran hidung kerana refleks perlindungan yang biasanya membantu mengeluarkannya tidak aktif ketika tidur.
Antara punca yang boleh mencetuskan bersin termasuklah:
Habuk dan udara kering: Boleh menyebabkan saluran hidung mengalami gatal.
Jangkitan: Selesema atau jangkitan saluran pernafasan atas boleh menyebabkan hidung meradang dan menghasilkan lebih banyak lendir.
Alahan: Habuk, debunga dan bulu haiwan peliharaan boleh mencetuskan tindak balas sistem imun.
Cahaya terang: Sesetengah individu akan bersin apabila terdedah kepada cahaya matahari atau berpindah dari kawasan gelap ke kawasan terang.
Fenomena bersin akibat cahaya terang ini dikenali sebagai photic sneeze reflex.
Jadi, jika anda pernah terjaga kerana bersin beberapa kali pada waktu malam, ia mungkin berkaitan dengan rangsangan yang cukup kuat sehingga menyebabkan anda terjaga terlebih dahulu.
Selalu Terjaga Sebab Bersin? Ini Cara Mengatasinya
Bagi individu yang kerap mengalami masalah bersin sehingga mengganggu tidur, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pendedahan kepada bahan sensitif.
Antaranya termasuklah memastikan bilik tidur sentiasa bersih, menukar cadar setiap satu hingga dua minggu serta mengemas permukaan perabot bagi mengurangkan pengumpulan habuk dan hama.
Selain itu, penggunaan penulen udara juga boleh membantu memerangkap alergen dan bahan sensitif yang berlegar di dalam bilik.
Antara langkah lain yang boleh dipertimbangkan ialah:
Mandi sebelum tidur: Membantu menyingkirkan habuk dan debunga yang melekat pada kulit serta rambut selepas seharian melakukan aktiviti.
Minum air secukupnya: Membantu mengekalkan kelembapan membran mukus dan mengelakkan hidung menjadi terlalu kering.
Gunakan pelembap udara: Membantu mengekalkan kelembapan udara di dalam bilik tidur, khususnya jika persekitaran terlalu kering.
Cuba cucian hidung: Pengairan hidung boleh membantu menyingkirkan lendir dan bahan sensitif yang terkumpul. Pastikan air yang digunakan selamat dan peralatan dibersihkan mengikut arahan.
Pertimbangkan ubat alahan: Antihistamin, semburan kortikosteroid hidung atau ubat selesema tertentu boleh membantu kurangkan gejala. Dapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor sebelum menggunakannya.
Bila Perlu Jumpa Doktor Jika Kerap Bersin Pada Waktu Malam?
Walaupun bersin pada waktu malam kebiasaannya berkaitan dengan alahan atau persekitaran tempat tidur, masalah yang berlaku secara berulang tidak sepatutnya dipandang ringan.
Pemeriksaan doktor boleh membantu mengenal pasti punca sebenar, sama ada disebabkan alahan, jangkitan atau masalah lain yang melibatkan saluran pernafasan.
Walaupun hidung kita masih boleh terdedah kepada pelbagai bahan sensitif ketika tidur, otak mempunyai cara kerja tersendiri yang menghalang refleks bersin daripada berlaku seperti ketika kita berjaga.
Jadi, selepas ini jika anda terjaga kerana bersin pada tengah malam, jangan pelik.
Besar kemungkinan anda sebenarnya sudah terjaga terlebih dahulu sebelum badan bertindak balas terhadap rangsangan tersebut.

