Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nak Lebih Produktif Dan Fokus? Pakar Cadang 10 Hobi Ini Untuk Diamalkan

hobi
Berkebun. Gambar: goodhousekeeping

Hobi sering dianggap sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang atau menghilangkan kebosanan. Namun, tahukah anda bahawa sesetengah hobi sebenarnya boleh memberikan manfaat kepada kesihatan otak, meningkatkan fokus dan membantu seseorang menjadi lebih produktif?

Iklan

Malah, pelbagai kajian menunjukkan bahawa aktiviti yang dilakukan di luar tuntutan kerja harian berpotensi menyokong fungsi otak dan membantu mengurangkan risiko kemerosotan kognitif.

Menurut pakar neurosains dan pengasas Ivy Prep, Rebecca Mannis, hobi bukan sekadar aktiviti menyeronokkan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan otak.

Katanya, manusia sememangnya perlu terus belajar sepanjang hayat dan hobi dapat membantu seseorang mengembangkan pengetahuan serta kemahiran baharu.

Selain itu, sesetengah aktiviti membolehkan minda berehat dan berfikir secara lebih kreatif. Tidak mustahil, penyelesaian kepada sesuatu masalah berkaitan kerja atau kehidupan peribadi muncul ketika seseorang sedang mengait, berjalan atau melakukan aktiviti kegemaran.

Menurut jurulatih produktiviti, Rashelle Isip, hobi juga memberikan ruang untuk berehat daripada tekanan mental, berhubung dengan orang lain dan meningkatkan kegembiraan.

Berikut merupakan 10 hobi yang disarankan pakar kerana berpotensi memberikan manfaat kepada kesihatan otak dan produktiviti harian.

1. Berkebun

Pernahkah anda berasa lebih tenang selepas meluangkan masa di kawasan hijau atau menguruskan tanaman di halaman rumah?

Aktiviti berkebun bukan sahaja memberikan peluang untuk berada di luar rumah, malah turut menggabungkan pergerakan fizikal, tumpuan dan rangsangan deria.

Menurut pakar neuropsikologi, Sanam Hafeez, aktiviti menjaga tanaman dapat memberikan rasa kepuasan dan tujuan kepada seseorang, sekali gus membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan keupayaan untuk memberikan tumpuan.

Pendedahan kepada persekitaran semula jadi juga dikaitkan dengan pengurangan tekanan, peningkatan fokus dan kualiti tidur yang lebih baik.

Selain dapat menikmati suasana yang menenangkan, seseorang juga boleh merasai kepuasan apabila melihat hasil tanaman seperti bunga yang berkembang atau sayur-sayuran yang berjaya dituai.

2. Berjalan Kaki

Berjalan kaki merupakan antara aktiviti paling mudah untuk dilakukan kerana hanya memerlukan kasut yang selesa dan sedikit masa lapang.

Menurut Mannis, aktiviti ini boleh membantu menyokong fungsi ingatan dan tumpuan, selain memberikan peluang kepada seseorang menikmati udara segar.

Jelasnya, berjalan kaki turut melibatkan beberapa fungsi penting tubuh seperti pernafasan, keseimbangan, perancangan pergerakan dan koordinasi yang menyumbang kepada kesihatan kognitif serta kesejahteraan keseluruhan.

Aktiviti ini juga boleh dilakukan bersama rakan atau ahli keluarga bagi mendapatkan manfaat hubungan sosial.

Malah, menurut Mannis, proses pembelajaran menjadi lebih berkesan apabila beberapa bahagian otak berinteraksi dan berfungsi secara serentak.

Oleh itu, berjalan kaki sambil berbual dengan rakan bukan sahaja menyeronokkan, malah berpotensi membantu meningkatkan daya tahan otak.

Menjahit. Gambar: goodhousekeeping

3. Mengait Atau Menjahit

Aktiviti mengait bukan sekadar hobi untuk menghasilkan pakaian atau barangan kraf, malah boleh menjadi salah satu cara membantu minda berehat.

Perkara sama turut terpakai kepada aktiviti seni tangan lain seperti mengait menggunakan jarum kait dan menjahit.

Menurut Isip, dalam kehidupan yang semakin banyak bergantung kepada skrin, aktiviti menggunakan tangan seperti ini memberikan peluang kepada seseorang untuk kembali menikmati pengalaman secara fizikal.

Katanya, aktiviti yang membantu seseorang memberikan perhatian kepada perkara di hadapan mata amat bernilai untuk kesejahteraan diri.

Setiap hasil jahitan atau kaitan juga memberikan kepuasan kerana seseorang dapat melihat perkembangan kerja yang dilakukan secara berperingkat.

Selain membantu menenangkan fikiran, aktiviti ini membolehkan tangan terus bergerak ketika minda berehat. Keadaan tersebut juga berpotensi memberikan ruang kepada seseorang untuk mendapatkan idea atau mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah.

4. Membaca

Tidak kira sama ada novel, buku motivasi, bahan ilmiah atau genre kegemaran lain, membaca merupakan aktiviti yang dapat melatih otak untuk memberikan tumpuan.

Hafeez menyifatkan aktiviti membaca sebagai senaman untuk otak kerana ia membantu mengukuhkan hubungan saraf yang berkaitan dengan ingatan, bahasa dan kesedaran emosi.

Menurutnya, apabila seseorang menghayati sesebuah cerita, minda dapat memperlahankan rentak pemikiran, sekali gus membantu meningkatkan fokus dalam aspek kehidupan lain.

Individu yang menjadikan membaca sebagai rutin juga berpotensi meningkatkan keupayaan berfikir dengan jelas dan mengingati maklumat.

Menariknya, manfaat membaca tidak semestinya berakhir selepas seseorang menutup buku.

Satu kajian menunjukkan beberapa bahagian otak masih aktif selama beberapa hari selepas seseorang selesai membaca novel, sekali gus memperlihatkan kesan aktiviti tersebut terhadap fungsi otak.

5. Menjadi Sukarelawan

Aktiviti sukarelawan bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat, malah turut menjadi peluang untuk mencabar keupayaan diri dan mempelajari perkara baharu.

Apabila seseorang meluangkan masa membantu orang lain, khususnya melalui aktiviti yang jarang dilakukan, otak akan berhadapan dengan pengalaman dan cabaran berbeza.

Menurut Mannis, aktiviti sukarelawan yang melibatkan interaksi sosial merupakan antara pilihan yang baik.

Malah, aktiviti yang menghimpunkan golongan daripada generasi berbeza juga memberikan peluang kepada seseorang untuk berkomunikasi, bertukar pengalaman dan mempelajari perspektif baharu.

Justeru, menyumbangkan masa dan tenaga kepada masyarakat bukan sahaja membantu orang lain, malah berpotensi meningkatkan keupayaan diri, daya tahan mental serta hubungan sosial.

Memasak. Gambar: goodhousekeeping

6. Memasak

Memasak bukan sekadar aktiviti menyediakan makanan untuk mengisi perut, malah boleh menjadi latihan kepada otak.

Sama ada mengikuti resipi atau menghasilkan hidangan mengikut kreativiti sendiri, aktiviti ini memerlukan seseorang menggunakan daya ingatan, fokus dan kemahiran membuat keputusan.

Kajian menunjukkan aktiviti di dapur berpotensi membantu mengukuhkan fungsi eksekutif, iaitu keupayaan mental yang membolehkan seseorang merancang, menyusun dan membuat keputusan.

Mannis menyifatkan fungsi tersebut sebagai keupayaan seseorang menguruskan dirinya sendiri.

Menurut Hafeez, menyediakan hidangan memerlukan perancangan, pengurusan masa dan kreativiti dilakukan secara serentak.

Selain itu, hasil masakan yang berjaya disediakan turut memberikan kepuasan kerana seseorang dapat menikmati hasil usaha sendiri.

Lebih menarik, aktiviti ini juga membolehkan seseorang menyediakan makanan yang berkhasiat untuk keperluan tubuh.

7. Menulis Jurnal

Selain mengemas ruang kediaman, menyusun fikiran melalui penulisan juga boleh membantu seseorang berasa lebih teratur.

Menulis jurnal merupakan salah satu cara untuk meluahkan perasaan, merekodkan pengalaman dan mengurangkan kekusutan fikiran.

Kajian turut menunjukkan amalan menulis jurnal secara berkala dikaitkan dengan beberapa manfaat kesihatan fizikal, termasuk pengurangan kekerapan mendapatkan rawatan doktor dan peningkatan fungsi sistem imun.

Menurut Hafeez, aktiviti ini membantu mengukuhkan kesedaran kendiri serta keupayaan mengawal emosi, iaitu dua perkara yang penting dalam meningkatkan produktiviti.

Katanya, proses menterjemahkan perasaan kepada bentuk penulisan dapat membantu seseorang mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkara yang sedang difikirkan.

Kejelasan tersebut juga boleh membantu seseorang membuat keputusan dengan lebih pantas dan yakin.

8. Melakukan Yoga

Aktiviti yang menggabungkan pergerakan tubuh dan kawalan pernafasan seperti yoga, Pilates serta Tai Chi bukan sahaja memberikan manfaat kepada fizikal, malah berpotensi menyokong produktiviti.

Menurut Hafeez, menggabungkan pergerakan dengan teknik pernafasan dapat melatih otak supaya kekal tenang ketika berhadapan tekanan.

Pergerakan yang perlahan dan terkawal juga membantu meningkatkan kesedaran terhadap tubuh serta keupayaan memberikan tumpuan.

Amalan secara konsisten berpotensi membantu seseorang menguruskan tenaga dengan lebih baik dan mengurangkan gangguan mental ketika melakukan tugasan harian.

9. Bermain Alat Muzik

Mendengar muzik mungkin membantu meningkatkan semangat ketika bekerja atau melakukan kerja rumah.

Namun, bermain alat muzik atau menyanyi secara aktif memberikan rangsangan yang lebih menyeluruh kepada otak.

Menurut Hafeez, proses mempelajari atau memainkan alat muzik melibatkan hampir keseluruhan bahagian otak secara serentak, termasuk kemahiran pergerakan, pemprosesan bunyi dan pengawalan emosi.

Amalan berlatih secara berkala juga boleh membantu meningkatkan daya ingatan dan keupayaan menyesuaikan pemikiran.

Malah, sesi latihan dalam tempoh singkat berpotensi meningkatkan fokus serta kemahiran menyelesaikan masalah.

Selain itu, bermain muzik melatih otak untuk menguruskan beberapa perkara pada masa yang sama sambil mengekalkan ketenangan ketika berhadapan tekanan.

Kemahiran tersebut boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, termasuk ketika membuat pembentangan kerja atau menguruskan tanggungjawab keluarga.

10. Tidak Melakukan Apa Apa

Mungkin kedengaran pelik, tetapi tidak melakukan sebarang aktiviti juga boleh menjadi sebahagian daripada rutin yang membantu meningkatkan produktiviti.

Bagaimanapun, keadaan ini bukan bermaksud menghabiskan masa dengan menatal telefon tanpa henti.

Menurut Isip, seseorang perlu memberikan ruang kepada diri sendiri untuk berehat tanpa sentiasa berasa perlu melakukan sesuatu perkara.

Katanya, berehat merupakan sebahagian daripada keperluan semula jadi manusia yang sering diabaikan sehingga seseorang mengalami keletihan melampau.

Malah, ketika seseorang mengambil masa untuk berhenti seketika dan menenangkan fikiran, idea baharu serta penyelesaian kepada sesuatu masalah kadangkala muncul.

Justeru, berehat bukan bermaksud membuang masa. Sebaliknya, memberikan ruang kepada minda untuk pulih juga boleh membantu seseorang kembali melakukan tugasan dengan lebih fokus dan bertenaga.

Intipati
  • Pakar berkata hobi berpotensi menyokong kesihatan otak, fokus dan produktiviti harian.
  • Aktiviti seperti berkebun, berjalan kaki dan membaca dikaitkan dengan ketenangan serta tumpuan.
  • Menulis jurnal, yoga, muzik dan rehat tanpa gangguan turut disaran untuk kesejahteraan mental.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan