Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nak Usus Lebih Sihat? Ini 7 Rutin Yang Boleh Diamalkan

usus
Gambar: hellodoktor

Kesihatan usus bukan hanya dipengaruhi oleh pemakanan dan aktiviti yang dilakukan sepanjang hari, malah rutin sebelum tidur juga memainkan peranan penting.

Iklan

Daripada pemilihan makanan ketika makan malam sehinggalah cara merehatkan minda sebelum tidur, tabiat pada waktu malam boleh mempengaruhi proses pencernaan, keseimbangan bakteria dalam usus serta keadaan tubuh apabila bangun pada keesokan harinya.

Menariknya, menjaga kesihatan usus tidak semestinya memerlukan perubahan gaya hidup yang besar. Amalan mudah seperti berjalan kaki selepas makan malam, menguruskan tekanan dan mendapatkan tidur yang mencukupi juga boleh memberikan manfaat.

Berikut merupakan tujuh amalan waktu malam yang boleh membantu menyokong kesihatan usus dan memastikan sistem pencernaan berfungsi dengan baik.

1. Pilih Menu Makan Malam Berasaskan Diet Mediterranean

Mengamalkan prinsip pemakanan Diet Mediterranean ketika makan malam boleh membantu menyokong kesihatan usus.

Antara makanan yang menjadi sebahagian daripada diet ini termasuk:

  • Buah buahan dan sayur sayuran segar

  • Kekacang

  • Bijirin penuh

  • Daging ayam

  • Ikan

  • Lemak sihat seperti minyak zaitun

Makanan yang diambil mempengaruhi komposisi mikrobiom usus, iaitu kumpulan mikroorganisma yang hidup dalam saluran pencernaan manusia.

Makanan segar dan kurang diproses mengandungi pelbagai nutrien seperti serat, vitamin dan mineral yang membantu mengekalkan keseimbangan mikroorganisma dalam usus.

Diet Mediterranean juga terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Kajian turut menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan diet ini mempunyai kepelbagaian mikroorganisma usus yang lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil makanan dengan kandungan gula, lemak dan garam yang lebih banyak.

2. Selesaikan Makan Dua Hingga Tiga Jam Sebelum Tidur

Makan terlalu hampir dengan waktu tidur boleh mengganggu rehat dan mempengaruhi kesihatan usus.

Makanan yang belum dihadam sepenuhnya berpotensi menyebabkan ketidakselesaan pada sistem pencernaan, khususnya bagi individu yang mudah mengalami masalah penghadaman.

Walaupun tiada ketetapan khusus mengenai waktu terakhir seseorang perlu makan sebelum tidur, memberi jarak sekitar dua hingga tiga jam selepas hidangan utama boleh memberikan masa yang mencukupi kepada tubuh untuk memulakan proses pencernaan.

Penyelidikan awal juga menunjukkan bahawa tabiat makan lewat malam mungkin memberikan kesan negatif terhadap kesihatan usus.

Satu kajian mendapati terdapat kaitan antara tekanan, tabiat makan lewat malam dan masalah usus. Individu yang mengalami tekanan tinggi serta kerap makan lewat malam didapati 2.5 kali lebih berkemungkinan melaporkan masalah usus dan mempunyai kepelbagaian mikrobiom usus yang lebih rendah.

Sekiranya masih lapar selepas makan malam, pilih snek yang mengandungi protein, serat atau lemak sihat seperti:

  • Buah buahan seperti beri dan kiwi

  • Yogurt rendah lemak

  • Kekacang

  • Bijirin penuh

  • Makanan diperam seperti kimchi, kefir atau kombucha

3. Berjalan Kaki Selepas Makan Malam

Berjalan kaki pada waktu malam bukan sahaja membantu memenuhi keperluan aktiviti fizikal harian, malah boleh menyokong proses pencernaan.

Aktiviti ringan ini membantu pergerakan makanan melalui sistem pencernaan.

Menariknya, seseorang tidak perlu berjalan terlalu lama untuk mendapatkan manfaat tersebut.

Satu kajian selama empat minggu mendapati berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit selepas makan lebih berkesan berbanding ubat prokinetik dalam mengurangkan masalah kembung perut dan ketidakselesaan dalam kalangan orang dewasa yang kerap mengalami keadaan tersebut.

Jika tidak berpeluang berjalan di luar rumah, berdiri dan melakukan sedikit pergerakan di dalam bilik juga boleh membantu.

4. Minum Secawan Teh Herba

Menikmati secawan teh herba tanpa kafein pada waktu malam boleh menjadi salah satu rutin untuk merehatkan tubuh sebelum tidur.

Sesetengah jenis teh seperti teh halia dan teh pudina turut dikaitkan dengan manfaat terhadap sistem pencernaan, termasuk membantu mengurangkan masalah angin dan perut kembung.

Halia diketahui mempunyai khasiat dalam membantu melegakan ketidakselesaan perut.

Pengambilan teh halia boleh membantu mengurangkan masalah angin dan kembung perut. Halia juga dikaitkan dengan kesan terhadap pergerakan usus serta proses penghadaman nutrien.

Teh halia boleh didapati dalam bentuk uncang atau disediakan sendiri menggunakan halia segar. Pengambilannya secara sederhana setiap hari secara umumnya dianggap selamat.

Selain itu, pudina juga boleh membantu mengurangkan kekejangan dan kembung perut.

Teh pudina dihasilkan daripada daun pudina dan secara umumnya dianggap selamat untuk diminum.

Bagaimanapun, individu yang mudah mengalami pedih ulu hati perlu berhati hati kerana pudina juga boleh mencetuskan masalah ketidakhadaman bagi sesetengah orang.

5. Lakukan Aktiviti Yang Membantu Menenangkan Fikiran

Otak dan usus mempunyai hubungan yang rapat. Tekanan bukan sahaja mempengaruhi emosi, malah boleh memberikan kesan terhadap sistem pencernaan.

Tahap tekanan yang tinggi dikaitkan dengan beberapa masalah perut seperti loya, sembelit dan cirit birit.

Apabila hormon tekanan meningkat, keadaan itu boleh menyumbang kepada keradangan dalam usus serta berpotensi mengganggu keseimbangan bakteria di dalamnya.

Oleh itu, melakukan aktiviti yang menenangkan pada waktu malam boleh membantu mengurangkan tekanan sekali gus menyokong kesihatan usus.

Antara aktiviti yang boleh dicuba termasuk:

  • Meditasi

  • Latihan pernafasan

  • Yoga

  • Menulis jurnal

  • Amalan bersyukur

Beberapa bukti penyelidikan turut menunjukkan bahawa teknik pernafasan perlahan dan mendalam boleh memberikan kesan positif kepada usus, termasuk membantu mengurangkan gejala dalam kalangan individu yang mengalami sindrom usus rengsa (IBS).

6. Tetapkan Waktu Tidur Yang Konsisten

Mempunyai jadual tidur yang teratur boleh membantu memastikan waktu rehat lebih konsisten dan memberikan kesan positif terhadap kesihatan usus.

Kajian menunjukkan perubahan kitaran tidur boleh mempengaruhi mikrobiom usus.

Mengekalkan waktu tidur dan bangun yang hampir sama setiap hari membantu menstabilkan ritma sirkadian, iaitu jam biologi semula jadi tubuh yang mengawal kitaran tidur dan berjaga.

Malah, perubahan jadual tidur yang tidak teratur selama beberapa hari juga berpotensi mempengaruhi keseimbangan mikrobiom usus.

Walaupun penyelidik masih mengkaji hubungan kompleks antara tidur dan usus, gangguan tidur dipercayai boleh mengubah komposisi serta fungsi mikroorganisma dalam sistem pencernaan.

Justeru, menetapkan waktu tidur dan bangun yang konsisten serta berusaha mematuhinya setiap hari boleh membantu menyokong kesihatan usus.

7. Pastikan Mendapat Tidur Yang Mencukupi

Amalan mendapatkan tidur yang mencukupi juga boleh memberikan kesan besar terhadap kesihatan usus.

Pakar mengesyorkan golongan dewasa mendapatkan tidur antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam.

Tidur kurang daripada tujuh jam secara berterusan boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan.

Tempoh tidur yang terlalu singkat boleh mempengaruhi mikrobiom usus dan berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan bakteria. Keadaan ini seterusnya dikaitkan dengan keradangan serta masalah metabolik.

Menariknya, hubungan antara tidur dan kesihatan usus dipercayai berlaku dalam kedua dua arah.

Tidur yang tidak berkualiti boleh menjejaskan kesihatan usus, manakala ketidakseimbangan mikrobiom usus pula berpotensi menyumbang kepada masalah tidur.

Sekiranya seseorang tidak mendapat tidur yang mencukupi secara konsisten dan masih mengalami kesukaran untuk memperbaiki corak tidur walaupun sudah mengamalkan rutin yang sesuai, mereka boleh mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan usus bukan hanya bergantung pada makanan yang diambil, tetapi turut melibatkan rutin harian termasuk aktiviti selepas makan malam, pengurusan tekanan dan kualiti tidur.

Perubahan kecil yang diamalkan secara konsisten boleh membantu menyokong kesihatan sistem pencernaan dalam jangka masa panjang.

Intipati
  • Rutin waktu malam boleh mempengaruhi pencernaan, mikrobiom usus dan keadaan tubuh keesokan hari.
  • Artikel menyarankan Diet Mediterranean, makan lebih awal dan berjalan kaki selepas makan malam.
  • Pengurusan tekanan, jadual tidur konsisten dan tidur mencukupi turut menyokong kesihatan usus.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan