Jantung merupakan antara organ paling penting dalam tubuh manusia kerana berfungsi mengepam darah ke seluruh badan bagi memastikan setiap organ mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang diperlukan.
Namun, kesibukan menjalani kehidupan seharian menyebabkan ada individu kurang memberikan perhatian terhadap kesihatan jantung, terutama dari segi pemakanan dan gaya hidup.
Hakikatnya, amalan pemakanan tidak sihat, obesiti serta tekanan darah tinggi merupakan antara faktor risiko yang boleh menyumbang kepada penyakit jantung.
Justeru, langkah menjaga kesihatan jantung perlu dimulakan lebih awal menerusi perubahan gaya hidup yang lebih sihat dan konsisten.
5 Tip Menjaga Kesihatan Jantung
1. Lakukan Senaman Secara Berkala
Jadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian dengan melakukan senaman sekurang kurangnya lima kali seminggu selama 30 minit bagi setiap sesi.
Amalan ini membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan melambatkan proses aterosklerosis serta membantu menstabilkan tekanan darah.
2. Kurangkan Tekanan
Pengurusan tekanan atau stres juga penting bagi menjaga kesihatan jantung.
Tekanan yang tidak dikawal boleh memberi kesan kepada tekanan darah dan meningkatkan risiko masalah kardiovaskular serta strok.
Oleh itu, luangkan masa untuk berehat dan lakukan aktiviti yang membantu menenangkan fikiran.
3. Kekalkan Berat Badan Ideal
Berat badan yang sihat dapat membantu mengurangkan risiko penyakit metabolik.
Salah satu panduan yang boleh digunakan ialah Indeks Jisim Badan (BMI), dengan julat ideal antara 18.5 hingga 24.9 kilogram bagi setiap meter persegi.
4. Amalkan Pemakanan Sihat
Pemilihan makanan turut memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan jantung.
Amalkan pemakanan seimbang bagi membantu mengawal paras kolesterol dan gula dalam darah.
5. Berhenti Merokok
Tabiat merokok boleh menjejaskan kesihatan saluran darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung.
Berhenti merokok merupakan antara langkah penting untuk mengurangkan pendedahan tubuh kepada bahan berbahaya yang boleh menjejaskan sistem kardiovaskular.
Kesimpulannya, penjagaan jantung tidak seharusnya dipandang ringan. Perubahan kecil dalam rutin harian boleh membantu kita mengamalkan kehidupan yang lebih sihat.

