Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

8 Tip Kurangkan 'Jet Lag' Selepas Penerbangan Jarak Jauh

jet
Gambar hiasan jet lag. Kredit: tagthai

Perjalanan jauh merentasi beberapa zon waktu boleh menyebabkan seseorang mengalami jet lag, iaitu keadaan apabila jam biologi badan tidak selari dengan waktu di destinasi yang dikunjungi.

Iklan

Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang berasa letih, mengantuk pada waktu siang, sukar tidur pada waktu malam serta mengalami gangguan tumpuan dan rutin harian.

Walaupun badan akhirnya akan menyesuaikan diri dengan zon waktu baharu, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi membantu mengurangkan gejala jet lag.

Berikut lapan tip yang boleh diamalkan, terutamanya jika anda perlu kembali aktif sejurus tiba di destinasi.

1. Sesuaikan diri dengan zon waktu baharu

Sebaik sahaja tiba di destinasi, mulakan penyesuaian dengan mengikut waktu tempatan.

Laraskan jam tangan atau jam perjalanan kepada waktu baharu, terutamanya jika peranti tersebut tidak menetapkan masa secara automatik.

Selain itu, cuba makan dan tidur mengikut jadual di destinasi berkenaan, bukannya mengikut waktu di negara asal.

Langkah ini penting bagi membantu badan menyesuaikan rutin harian, khususnya apabila perbezaan zon waktu melebihi tiga jam.

2. Urus waktu tidur dengan baik

Pastikan anda mendapatkan tidur yang mencukupi mengikut jadual baharu.

Jika penerbangan berlangsung ketika waktu malam di destinasi, cuba manfaatkan masa tersebut untuk berehat atau tidur sepanjang perjalanan.

Antara barangan yang boleh membantu anda mendapatkan tidur lebih selesa ketika berada di dalam pesawat termasuk fon kepala pembatal bunyi, penutup mata, penyumbat telinga serta bantal dan selimut perjalanan.

Apabila tiba di destinasi, elakkan tidur pada waktu siang sekiranya masih mampu bertahan kerana ia boleh menyukarkan anda untuk tidur pada waktu malam.

Namun, jika terlalu mengantuk, anda boleh mengambil tidur sebentar selama 15 hingga 20 minit sahaja.

3. Minum air secukupnya

Perjalanan jarak jauh, khususnya menggunakan kapal terbang, boleh menyebabkan badan mengalami dehidrasi.

Oleh itu, pastikan anda minum air secukupnya sepanjang perjalanan dan selepas tiba di destinasi.

Anda boleh membawa botol air kosong melalui pemeriksaan keselamatan lapangan terbang sebelum mengisinya semula selepas melepasi pemeriksaan.

Selain itu, cuba elakkan pengambilan minuman beralkohol kerana ia boleh mengganggu kualiti tidur dan menyukarkan badan menyesuaikan diri dengan waktu baharu.

4. Ambil hidangan dalam kuantiti lebih kecil

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), pengambilan makanan dalam kuantiti lebih kecil boleh membantu mengelakkan ketidakselesaan perut dan masalah pencernaan yang mungkin dialami ketika mengalami jet lag.

Walau bagaimanapun, setakat ini belum terdapat kajian formal yang membuktikan kaitan secara khusus antara saiz hidangan dengan pengurangan gejala jet lag.

5. Dapatkan pendedahan cahaya pada waktu yang sesuai

Perubahan zon waktu turut mengubah waktu badan menerima cahaya, sekali gus boleh mengganggu jam biologi.

Pendedahan kepada cahaya matahari pada waktu yang tepat boleh membantu badan menyesuaikan diri dengan jadual baharu.

Namun, waktu mendapatkan cahaya perlu disesuaikan mengikut arah perjalanan.

Sebagai contoh, jika anda melakukan perjalanan ke arah timur, seperti dari New York ke Paris, pendedahan kepada cahaya terang sebaik tiba mungkin perlu dielakkan sehingga waktu badan biasanya mula bangun di negara asal.

Selepas hari pertama, mendapatkan cahaya matahari pada waktu pagi boleh membantu mempercepat proses penyesuaian badan terhadap zon waktu baharu.

6. Ambil minuman berkafein secara sederhana

Pengambilan kafein tidak dapat menghilangkan jet lag, tetapi boleh membantu meningkatkan tahap kewaspadaan dan tumpuan pada waktu siang.

Antara minuman yang mengandungi kafein termasuk kopi dan teh.

Satu kajian mendapati pengambilan 300 miligram kafein jenis pelepasan perlahan dapat meningkatkan tahap kewaspadaan dalam kalangan individu yang melakukan perjalanan ke arah timur.

Bagaimanapun, pengambilan kafein perlu dikawal dan sebaiknya dielakkan pada waktu petang serta malam kerana ia boleh menyebabkan seseorang sukar tidur.

7. Pastikan ruang tidur selesa

Persekitaran tempat tidur yang selesa boleh membantu anda mendapatkan rehat berkualiti ketika berada di destinasi baharu.

Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk menetapkan suhu bilik yang sesuai, memastikan telefon atau jam tidak mengeluarkan bunyi ketika tidur serta membawa barangan yang biasa digunakan di rumah.

Contohnya, anda boleh membawa selimut kegemaran atau losen dengan bau yang biasa digunakan bagi membantu mewujudkan suasana lebih selesa.

8. Pertimbangkan pengambilan melatonin

Melatonin ialah hormon yang dihasilkan secara semula jadi oleh badan untuk membantu mengawal kitaran tidur.

Ia juga boleh didapati dalam bentuk suplemen yang mungkin membantu seseorang berasa mengantuk ketika mengalami jet lag.

Bagaimanapun, penggunaan melatonin sebagai suplemen perlu dipertimbangkan dengan teliti, khususnya jika anda sedang mengambil ubat tertentu.

Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menggunakannya bagi memastikan ia sesuai dan tidak berinteraksi dengan ubat yang sedang diambil.

Berapa Lama Masa Diperlukan Untuk Pulih Daripada Jet Lag?

Tempoh untuk badan menyesuaikan diri bergantung pada jumlah zon waktu yang dilalui ketika perjalanan.

Sebagai panduan umum, badan mungkin memerlukan kira-kira satu hari untuk menyesuaikan diri bagi setiap zon waktu yang dilalui.

Sebagai contoh, jika perjalanan melibatkan perbezaan lima zon waktu, gejala jet lag mungkin berlanjutan sehingga lima hari.

Bolehkah Jet Lag Dicegah?

Walaupun sukar untuk mengelakkan jet lag sepenuhnya, anda boleh mula menyesuaikan jadual tidur sebelum berlepas.

Sebagai contoh, jika melakukan perjalanan ke arah timur, cuba tidur dua jam lebih awal daripada waktu biasa. Sebaliknya, jika menuju ke arah barat, anda boleh tidur dua jam lebih lewat.

Sekiranya mempunyai urusan penting atau menghadiri acara sejurus tiba di destinasi, pertimbangkan untuk tiba dua hari lebih awal bagi memberikan masa kepada badan menyesuaikan diri.

Jet lag merupakan keadaan biasa yang boleh berlaku selepas seseorang melakukan perjalanan merentasi beberapa zon waktu. Gejalanya lazimnya akan beransur pulih apabila badan mula menyesuaikan diri dengan jadual baharu.

Mengubah rutin tidur, mendapatkan pendedahan cahaya pada waktu yang sesuai, minum air secukupnya dan mengawal pengambilan kafein merupakan antara langkah yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan akibat jet lag.

Jika anda bercadang menggunakan melatonin atau sebarang bantuan tidur, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi memastikan penggunaannya selamat dan sesuai dengan keadaan anda.

Sumber:Healthline
Intipati
  • Jet lag berlaku apabila jam biologi badan tidak selari dengan waktu destinasi baharu.
  • Menyesuaikan tidur, makan dan pendedahan cahaya boleh membantu badan menerima jadual tempatan.
  • Melatonin mungkin membantu, tetapi penggunaannya perlu dirujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan