Indonesia secara rasmi mula mengurangkan jumlah eksport gas asli ke Singapura bermula hari ini, lapor CNBC Indonesia.
Ketua Satuan Kerja Khusus Pelaksana Kegiatan Usaha Hulu Minyak dan Gas Bumi (SKK Migas), Djoko Siswanto berkata, langkah pengurangan itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan gas domestik kekal stabil, khususnya untuk sektor penjanaan elektrik.
Indonesia kurangkan eksport gas asli
“Mulai hari ini, bekalan gas ke Singapura sebanyak 15 juta kaki padu standard dialihkan untuk kegunaan domestik dari Natuna ke PLN Batam melalui saluran paip WNTS–Pulau Pemping–Batam.
“Selain itu, bekalan gas ke Singapura dari Sumatera turut dikurangkan sebanyak 16 juta kaki padu standard sehari melalui saluran paip TGI bagi memenuhi keperluan elektrik di Batam, Bintan dan Sumatera,” katanya.
Menurut Djoko, langkah kerajaan tersebut selaras dengan Perkara 8, Fasal (1) Undang-Undang Minyak dan Gas Indonesia yang menetapkan bahawa kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada penggunaan gas asli untuk kepentingan domestik.
“Seterusnya, kami akan terus memantau perkembangan ini setiap hari,” tambahnya.
Sebelum ini, ketika ditemui pemberita di luar acara Anugerah Subroto 2026 anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) di Hotel The Westin, Jakarta pada malam Jumaat, Djoko menegaskan bahawa pengurangan eksport gas hanya melibatkan Singapura.
“Tiada (pengurangan eksport ke negara lain), kerana saluran paip itu hanya menuju ke Singapura,” jawab Djoko ketika ditanya mengenai kemungkinan penyelarasan eksport gas ke negara jiran yang lain.

Untuk rekod, cadangan menghentikan eksport gas ke negara jiran pertama kali dibangkitkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, pada 21 Oktober lalu di Istana Negara.
Bahlil yang juga Menteri Penyelaras Bidang Hiliran dan Peralihan Tenaga berkata, kerajaan Indonesia sedang mempertimbangkan kemungkinan menghentikan eksport gas ke negara jiran.
Menurutnya, pertimbangan itu dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan tenaga negara ketika dunia masih berdepan ketegangan geopolitik.
Beliau berkata, langkah tersebut juga selaras dengan kenyataan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bahawa negara itu kini berada dalam keadaan yang memerlukan usaha untuk terus bertahan (survival).
“Ya, memang kita perlu bertahan. Sebagai pegawai negara dan Presiden sebagai ketua negara, sudah tentu segala yang disampaikan Presiden perlu diterjemahkan oleh semua kementerian dalam usaha memastikan kelangsungan negara,” kata Bahlil selepas menghadiri Sidang Kabinet Paripurna di Istana Negara, Jakarta pada Rabu.
“Jadi, sekiranya negara lain mempunyai pandangan berbeza terhadap kita, berhati-hatilah. Saya juga mungkin mempertimbangkan untuk tidak melanjutkan eksport gas ke negara jiran kerana kita perlu terus bertahan dan memenuhi keperluan dalam negeri terlebih dahulu,” tegasnya.
