Singapura melancarkan program perintis untuk mengimport dan menggunakan biometana bagi memenuhi keperluan tenaga negara itu bermula pada 2028.
Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Perdagangan), Gan Kim Yong mengumumkan perkara tersebut pada Jumaat.
Menurutnya, tiga syarikat iaitu Keppel Energy, Sembcorp Utilities dan Tuas Power Generation telah dilantik untuk mengimport serta membekalkan biometana ke Singapura menerusi program perintis berkenaan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap pada Forum Penyahkarbonan Industri Singapura yang julung kali diadakan.
Selain program perintis biometana, Gan turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu kerajaan bagi membantu sektor perindustrian mengurangkan pelepasan karbon.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Mengapa biometana?
Biometana merupakan gas boleh diperbaharui yang dihasilkan daripada sisa organik dan boleh digunakan sebagai alternatif rendah karbon kepada gas asli, iaitu sejenis bahan api fosil.
Antara kelebihan biometana ialah keserasiannya dengan infrastruktur gas sedia ada di Singapura, sekali gus membolehkan penggunaannya dilaksanakan tanpa memerlukan pengubahsuaian yang menelan kos tinggi.
Perkara ini penting memandangkan kira-kira 95 peratus bekalan elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli.
Menurut Gan, kementeriannya telah mewujudkan satu kerangka percubaan kawal selia (regulatory sandbox) pada 2025 bagi menangani pelbagai cabaran sebelum biometana dapat digunakan secara meluas.
Antara cabaran tersebut termasuk aspek rantaian bekalan, pengaturan komersial dan rangka kerja kawal selia.
Melalui program perintis itu, biometana disasarkan dapat menyokong kapasiti penjanaan elektrik sehingga 300 megawatt (MW) bermula pada 2028.
Inisiatif tersebut juga bertujuan membuka peluang kepada sektor industri untuk meneroka serta menggunakan penyelesaian tenaga rendah karbon yang baharu.
Tumpuan kepada sektor perindustrian
Dalam ucapannya, Gan menjelaskan bahawa sektor perindustrian menyumbang kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon Singapura, termasuk pelepasan yang berkaitan dengan penggunaan elektrik.
Sehubungan itu, sektor tersebut perlu diberikan perhatian dalam usaha negara berkenaan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Gan turut menjelaskan bahawa Singapura menghadapi pelbagai cabaran, seperti keluasan tanah yang terhad, sumber tenaga boleh baharu yang terbatas, keperluan operasi industri yang kompleks serta teknologi rendah karbon dari negara lain yang mungkin tidak sepenuhnya sesuai digunakan di Singapura.
Oleh itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak S$800 juta (kira-kira RM2.56 bilion) menerusi program Decarbonisation Grand Challenge (DGC) bagi menyokong pembangunan teknologi berpotensi tinggi yang mampu mengurangkan pelepasan karbon.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Di bawah DGC, sebanyak S$143 juta diperuntukkan kepada Inisiatif Pembiayaan Penyahkarbonan Industri (Industry Decarbonisation Funding Initiative).
Daripada jumlah tersebut, S$100 juta dikhususkan bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diterajui syarikat.
Peruntukan itu membolehkan syarikat mengenal pasti cabaran penyahkarbonan masing-masing serta membangunkan penyelesaian yang bersesuaian melalui kerjasama dengan pihak berkaitan di Singapura.
Inisiatif tersebut turut melibatkan kerjasama dengan pelabur tenaga bersih dan pemecut perniagaan bagi mempercepat pembangunan teknologi rendah karbon.
Antara rakan kongsi sedia ada ialah Temasek Holdings, Energy Impact Partners, Breakthrough Energy dan SG Growth Capital.
Kerjasama baharu turut dijalin dengan beberapa dana dan organisasi antarabangsa, termasuk Main Sequence Ventures, Extantia dan Rocky Mountain Institute.
Selain itu, kerajaan Singapura juga akan menyediakan pembiayaan bagi menghubungkan penyelidik dengan pihak industri supaya teknologi baharu dapat diuji dalam persekitaran operasi sebenar.



