Kerajaan Singapura akan menggunakan segala saluran undang-undang dan kawal selia yang tersedia untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran di Indonesia.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, kerajaan Singapura sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran berkenaan, yang turut menyebabkan jerebu teruk.
Menurutnya, Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu telah mengenal pasti senarai awal syarikat yang terlibat.
Sementara itu, Menteri Kanan, K Shanmugam telah memberikan perkembangan terkini mengenai langkah seterusnya yang bakal diambil kerajaan Singapura.
Singapura Akan Guna Semua Saluran Undang-Undang Terhadap Syarikat Terkait Kebakaran
“Sejak kemas kini terakhir saya pada Khamis lalu, kementerian kami telah meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran.
“Menteri Grace Fu telah mengenal pasti senarai awal syarikat yang terlibat, manakala SM Shanmugam hari ini memberikan perkembangan lanjut mengenai langkah seterusnya yang akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Lawrence Wong menegaskan bahawa kerajaan Singapura akan mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat yang terlibat.
“Kami akan menggunakan segala saluran undang-undang dan kawal selia yang tersedia serta memanfaatkan setiap langkah yang boleh diambil bagi memastikan pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan dan memberikan tekanan kepada mereka melalui pelbagai langkah,” katanya.
Sementara itu, Shanmugam ketika ditemui media tempatan pada Isnin berkata kesungguhan kerajaan Singapura untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang terlibat tidak perlu dipandang ringan.
“Sekiranya syarikat enggan memberikan kerjasama, sama ada mereka mempunyai operasi di Singapura atau sebaliknya, kami akan menggunakan segala saluran undang-undang dan kawal selia yang ada untuk memberikan tekanan kepada mereka melalui langkah yang bersesuaian,” katanya.
Beliau menambah, langkah tersebut boleh memberi kesan terhadap keuntungan syarikat, akses mereka kepada pembiayaan serta keyakinan pelabur terhadap syarikat berkenaan.
Menurut Shanmugam, jika perlu, kerajaan juga boleh meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu dengan segera bagi memastikan syarikat terbabit memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Shanmugam turut memberi amaran bahawa syarikat terbabit tidak boleh hanya menunggu sehingga jerebu reda sebelum kembali menjalankan perniagaan seperti biasa.
“Kami akan meneruskan usaha ini sehingga perkara ini diselesaikan,” katanya.

