Hubungan diplomatik antara Indonesia dan Singapura dilaporkan semakin tegang susulan isu jerebu rentas sempadan yang menyelubungi negara kota itu selama beberapa bulan akibat kebakaran hutan di Indonesia.
Ketegangan tersebut tercetus selepas Singapura menyuarakan kebimbangan terhadap kualiti udara, namun teguran berkenaan dibalas dengan kenyataan keras oleh beberapa pegawai Indonesia.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), seorang diplomat kanan Indonesia menegaskan bahawa dialog antara negara anggota ASEAN perlu diteruskan walaupun berdepan perbezaan pendirian.
Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN di Kementerian Luar Indonesia, Ina Hagniningtyas Krisnamurthi berkata, diplomasi memerlukan komunikasi berterusan kerana setiap negara mempunyai keadaan ekonomi dan dasar domestik yang berbeza.
“Diplomasi tidak boleh dihentikan. Dasar domestik kita mungkin berbeza, tetapi kita masih perlu meneruskan usaha diplomasi,” katanya seperti dipetik Jakarta Globe.
Ketegangan itu berterusan walaupun Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan mengadakan lawatan ke Jakarta minggu lalu bagi membincangkan isu berkenaan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas bersama bagi memantau aliran kewangan yang mempunyai kaitan dengan syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan.
Bagaimanapun, beberapa kenyataan pemimpin Indonesia terus mencetuskan perhatian, termasuk isu bekalan gas asli dan eksport elektrik ke Singapura.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia sebelum ini mengumumkan pengurangan lapan peratus bekalan gas asli melalui paip ke Singapura berkuat kuasa 24 Oktober.
Beliau turut mendakwa Singapura mengeksport semula gas yang dibeli dari Indonesia, namun dakwaan itu ditolak Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura pada 30 Oktober.
Kementerian berkenaan menjelaskan bahawa gas asli yang diimport dari Indonesia digunakan untuk keperluan domestik dan bukannya untuk dieksport semula.
Pada Isnin, Bahlil turut menyatakan bahawa Indonesia tidak akan mengeksport elektrik ke Singapura sekiranya tiada persetujuan harga yang mengikut syarat ditetapkan Jakarta.
Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi turut mendakwa pelabur milik kerajaan Singapura, Temasek dan dana kekayaan negara GIC melobi penyedia indeks global MSCI supaya menurunkan status pasaran saham Indonesia.
Bagaimanapun, kedua-dua entiti berkenaan menafikan dakwaan tersebut, manakala seorang pengarah Bursa Saham Indonesia turut menolak tuduhan berkenaan.
Penganalisis berpendapat kenyataan berunsur nasionalisme itu berkemungkinan dipengaruhi tekanan domestik yang sedang dihadapi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Pentadbiran Prabowo ketika ini berdepan penelitian awam terhadap program makanan percuma di sekolah yang dikaitkan dengan beberapa insiden keracunan makanan serta dakwaan rasuah, selain isu kebakaran hutan dan kemungkinan penurunan status pasaran saham negara itu.
Bagaimanapun, beberapa pakar berpandangan pertikaian antara Jakarta dan Singapura tidak bersifat kekal serta dijangka tidak menjejaskan hubungan ASEAN secara keseluruhan.
Bekas Duta Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo berkata, hubungan kedua-dua negara bersifat saling melengkapi dan bukannya bersaing.
Sementara itu, Menteri Luar Indonesia yang baharu dilantik, Arrmanatha Nasir menegaskan sokongan negaranya terhadap Singapura yang bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2027.
Beliau turut menyatakan harapan agar ASEAN terus bersatu, mengekalkan peranan utamanya di rantau ini dan kekal berdaya tahan.

