Cadangan pelaburan bernilai RM6 bilion oleh Edra Power Holdings Sdn. Bhd. di Melaka berpotensi mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh sektor tenaga dan ekonomi digital negeri itu.
Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan pelaburan berkenaan diumumkan dalam perkembangan berkaitan pembangunan sektor tenaga di negeri itu.
Menurutnya, Loji Janakuasa Edra Melaka berkapasiti 2,242 megawatt memainkan peranan penting sebagai antara loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan terbesar di Asia Tenggara.
Katanya, kemudahan itu menyumbang secara signifikan kepada bekalan elektrik negara, selain memperlihatkan keupayaan sektor tenaga yang tersedia di Melaka.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebook hari ini selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof ke Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas Antarabangsa Tahunan Keempat China General Nuclear Power Corporation (CGN) 2026 di EPH Training Centre, Kuala Sungai Baru.
Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Bekalan Elektrik, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Anuar Zaki Bakar; Pengerusi China General Nuclear Energy International Holdings Company Limited, Zhang Chaoqun; serta Timbalan Pengurus Besar China General Nuclear New Energy Holdings Company Limited, Dai Honggang.
Hadir sama ialah Pengerusi Shenzhen CATIC Information Technology Industry Company Limited, Chang Yuan dan Pengerusi merangkap Presiden Edra Power Holdings Sdn. Bhd., Zhong Xianjue.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Perbadanan Melaka (MCORP) sedang merancang pembangunan Hab Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Rendah Karbon yang terletak berhampiran Loji Janakuasa Edra Melaka.
Jelasnya, cadangan pembangunan itu bertujuan mewujudkan ekosistem mampan bagi teknologi kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan, selain menjadikan Melaka destinasi berdaya saing untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi.
Bagi menyokong keperluan tenaga bagi pembangunan berkenaan, MCORP bersama Edra turut meneroka kebolehlaksanaan pembangunan Ekosistem Kuasa Bersepadu Pusat Data dengan kapasiti indikatif sehingga dua gigawatt.
Ujarnya, kerajaan negeri komited memperkukuh sektor tenaga menerusi kepelbagaian sumber tenaga serta menggalakkan penjanaan kuasa yang lebih mampan dan mesra alam.
“Kita mahu Melaka bukan sahaja berkembang sebagai hab industri dan pelaburan, malah bersedia mendepani keperluan ekonomi digital masa hadapan,” katanya.


