KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER 2026 – Taarana, pusat pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia yang memenangi anugerah, hari ini mengumumkan rancangan peralihan kepada Sekolah Rendah Pendidikan Khas pada Mac 2027.
Pengumuman itu dibuat oleh Datin Sri Umayal Eswaran, Pengerusi Yayasan RYTHM, semasa sambutan Hari Tahunan 2026 Pusat Pendidikan Khas Sinaran @ Taarana.
Taarana kini beroperasi sebagai Pusat Perkembangan Minda yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Peralihan kepada sekolah rendah pendidikan khas yang berdaftar secara rasmi ini akan memperkukuh pendekatan sedia ada Taarana, yang merangkumi pelan pembelajaran berstruktur, pemantauan perkembangan dan sokongan diperibadikan.
Pada masa sama, pendidikan peringkat rendah yang disediakan akan selaras dengan keperluan KPM yang berkaitan.
Pengembangan ini menjawab keperluan terhadap persekitaran pembelajaran khusus yang direka bagi kanak-kanak yang memerlukan sokongan intensif.
Data terkini Kementerian Pendidikan menunjukkan bilangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) terus meningkat kepada hampir 162,000 orang di seluruh negara (setakat 31 Mei 2026).
Selain itu, data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa lebih 800,000 orang kurang upaya (OKU) berdaftar di negara ini, dengan ketidakupayaan pembelajaran sebagai kategori terbesar, iaitu 37.1%.
Sehubungan itu, Taarana menyediakan laluan pembelajaran yang berbeza untuk membina kemahiran asas serta mempersiapkan murid bagi pendidikan bersepadu dan inklusif, bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Peralihan ini berlangsung ketika negara giat memperkukuh pendidikan khas. Belanjawan 2027 mengumumkan kenaikan elaun bulanan murid berkeperluan pendidikan khas daripada RM150 kepada RM200, selain memperluas inisiatif intervensi awal.
Seiring dengan itu, Taarana berhasrat memperkukuh model pendidikannya melalui kemudahan pembelajaran khusus, kepakaran pelbagai disiplin, dan pembangunan murid secara holistik.
Langkah ini turut disokong dengan menjadikan amalan terbaik antarabangsa yang berkaitan sebagai penanda aras.

Selangkah Lebih Dekat Menjadi Sekolah Formal
Bagi memudahkan peralihan ini, Taarana sedang dalam proses memohon kelulusan KPM. Setelah kelulusan tersebut diperoleh, Taarana akan mendapatkan kelulusan berkanun yang diperlukan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Operasi dijangka bermula pada Mac 2027 di Wisma SAHOCA, Kelana Jaya (SS 6), Petaling Jaya. Bangunan berpagar empat setengah tingkat itu seluas 17,222 kaki persegi, hampir dua kali ganda saiz premis Taarana School sedia ada, sekali gus membolehkan pengambilan murid ditingkatkan secara berperingkat daripada 35 kepada sehingga 100 orang.
Taarana merancang untuk mengekalkan nisbah seorang guru bagi setiap tiga orang murid apabila jumlah pendaftaran meningkat.
Bagi menyokong peralihan ini, sebuah Lembaga Pengelola telah ditubuhkan untuk memberikan hala tuju strategik serta mengawasi tadbir urus Sekolah Rendah Pendidikan Khas Taarana.
Datin Sri Umayal Eswaran, Pengerusi Yayasan RYTHM, berkhidmat sebagai Pengerusi, manakala Encik Nicholas Goh, Ketua Pegawai Operasi Quest International University (QIU), berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola.
Ahli Lembaga Pengelola terdiri daripada Naib Canselor dan Ketua Eksekutif QIU serta bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Prof. Zita Mohd Fahmi; Pakar Perunding Pediatrik Komuniti serta pendukung hak kanak-kanak dan orang kurang upaya, Dato’ Dr. Amar Singh HSS; Pengarah Pusat Serantau SEAMEO untuk Keperluan Pendidikan Khas (SEAMEO SEN), Puan Jamilah Kadir; dan Pakar Psikologi Pendidikan Bertauliah di Subang Jaya Medical Centre, Cik Tan Cheng Yi.
Kepakaran kolektif mereka dalam bidang pendidikan, tadbir urus, perkembangan kanak-kanak dan keperluan pendidikan khas akan menyokong pertumbuhan jangka panjang sekolah itu.

“Setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan yang mengiktiraf kekuatan mereka dan memberi sokongan yang diperlukan untuk belajar.
“Bagi sesetengah kanak-kanak, keupayaan menyatakan keperluan kepada orang lain, membuat pilihan atau melakukan sesuatu sendiri merupakan satu pencapaian besar. Detik sebegini amat bermakna bagi kanak-kanak dan keluarga mereka.
“Premis baharu yang lebih besar akan membolehkan kami menyokong lebih ramai kanak-kanak melalui pengajaran khusus, terapi dan pembelajaran praktikal.
“Kami komited membantu setiap kanak-kanak berkembang mengikut rentak masing-masing dan membina kemahiran yang boleh digunakan di luar bilik darjah.
“Yang paling penting, kami mahu melihat mereka semakin yakin, lebih berdikari dan melibatkan diri dalam komuniti mereka,” kata Pengerusi Yayasan RYTHM, Datin Sri Umayal Eswaran.
Premis baharu itu akan menempatkan sekolah rendah pendidikan khas di tiga tingkat pertama, lengkap dengan bilik sensori dan terapi serta studio serbaguna untuk aktiviti pergerakan dan kreatif.
Satu setengah tingkat di bahagian atas pula akan menempatkan pusat pengayaan, termasuk ruang khusus untuk program pembelajaran pravokasional yang dilengkapi dapur berfungsi dan kawasan latihan pengemasan rumah bagi membangunkan kemahiran kehidupan seharian.
“Pelan pembelajaran individu kami telah pun digunakan untuk memantau perkembangan setiap kanak-kanak dari segi akademik, komunikasi, fizikal dan kemahiran kehidupan seharian.
“Peralihan kepada sekolah rendah formal akan berasaskan pendekatan ini, manakala premis yang lebih besar akan memberi lebih banyak peluang kepada murid untuk mempraktikkan dan mengaplikasikan kemahiran mereka.
“Melalui kerjasama erat dengan pihak keluarga, tumpuan kami kekal dalam kemajuan yang membawa perubahan bermakna dalam kehidupan seharian kanak-kanak,” kata Pengetua Taarana, Dr. Sunitha Sivakumaran.
Perpaduan Dalam Kepelbagaian: Bersama-Sama Kita Bersinar
Pengumuman itu dibuat bersempena sambutan Hari Tahunan Taarana bertemakan “Unity in Diversity: Together We Shine”, yang menampilkan persembahan oleh 30 murid serta mempamerkan kreativiti, kemahiran komunikasi dan keyakinan mereka yang semakin berkembang.
Sekolah itu turut mengetengahkan aktiviti pembelajaran kelestariannya menerusi The Magic of Recycling, yang melibatkan sekolah awam berhampiran di bawah PPD Petaling Utama, iaitu SK Alam Shah 1 dan 2 serta SJKT Vivekananda, bersama kumpulan alam sekitar Generasi Peduli Sampah.
Mengulas tentang impak sekolah itu, Puan Kalaivani, ibu kepada Herveen Muralitharan, seorang murid Taarana, berkata: “Dengan bimbingan guru dan ahli terapinya, Herveen kini semakin yakin mengurus emosinya, mengekspresikan diri dan menguasai kemahiran adaptif dalam kehidupan seharian. Taarana telah menjadi ‘talian hayat’ bagi Herveen, dan peluasan institusi ini memberi harapan sebenar kepada lebih ramai ibu bapa.”
Taarana Rancang Peralihan Kepada Sekolah Rendah Pendidikan Khas


