“Wayang pun wayanglah, cikgu.”
Demikian respons Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek selepas seorang pengguna Threads yang mendakwa dirinya guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan kemudahan pendidikan khas di sekolah.
Menerusi hantaran di Threads, Fadhlina menyenaraikan beberapa usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pendidikan khas, termasuk penempatan guru, penyediaan kemudahan serta penambahbaikan elaun dan insentif.
Menurut beliau, antara usaha yang dilaksanakan ialah penempatan 1,055 guru pendidikan khas, peruntukan RM700 juta bagi pembinaan 35 blok pendidikan khas serta RM30 juta untuk kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, beliau turut menyenaraikan pembinaan dua sekolah pendidikan khas baharu, pelaksanaan ProsPIM dan PROSPER serta kenaikan elaun murid daripada RM150 kepada RM200.
Fadhlina turut memaklumkan insentif guru akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 mulai 2027.
“Masih banyak perlu diperbaiki. Belum selesai semuanya tidak bermakna tiada apa apa yang diusahakan cikgu,” tulisnya.
Sebelum itu, satu hantaran pengguna Threads dengan nama akaun @fikrizahabi mendapat perhatian selepas meluahkan kritikan terhadap keadaan kemudahan di sekolah PPKI.
“Wayang paling hebat setakat ini.
“Saya guru PPKI. Awak pergilah ke mana mana program PPKI, penuh dengan keterbatasan.
“Daripada cikgu tidak cukup, Pembantu Pengurusan Murid (PPM) tidak cukup, kemudahan pula teruk dan tidak mesra murid OKU,” dakwanya.
Meninjau ruangan komen, terdapat juga pengguna yang berkongsi pengalaman serta memberikan respons terhadap usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Terima kasih YB atas sekotak buku untuk anak anak prasekolah,” kata @persimmonmanis.
Seorang lagi pengguna, @albaidhawi96, turut berkongsi pengalaman mengenai penambahbaikan kemudahan di institusi pendidikan.
“YB, anda memang terbaik. Banyak peruntukan disalurkan kepada institusi pendidikan di sekolah dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Kuarters saya dahulu dibaiki selepas berpuluh tahun berada dalam keadaan buruk. Bilik guru juga dibaiki pada tahun ini.
“Sekarang, di IPG pula banyak peruntukan disalurkan. Dewan perhimpunan dan padang bola semuanya dibaiki pada tahun ini. Terima kasih banyak, YB. Hanya jauhari mengenal manikam,” komennya.

