Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Kenapa Di Malaysia Boleh…” Senaraikan Lima Bentuk Sokongan Kerajaan Malaysia, Warga Indonesia Akui Kagum

Warga Indonesia Kagum
Kredit: Facebook Taufik Hidayat

Mungkin bagi rakyat Malaysia, menerima pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan sudah menjadi perkara biasa, namun pengalaman itu nampaknya berbeza bagi penduduk di negara lain.

Seorang warga Indonesia, Taufik, mengakui berasa malu apabila melihat pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan Malaysia untuk rakyatnya.

Menurutnya, selepas setahun menetap di Malaysia, dia menyedari betapa seriusnya kerajaan negara ini dalam menjaga kebajikan rakyat, termasuk perkara kecil yang mungkin memberi kesan besar terhadap kehidupan mereka.

Warga Indonesia Akui Kagum Dengan Bantuan Dari Kerajaan

“Kenapa di Malaysia boleh, sedangkan di Indonesia masih belum boleh? Sedangkan kita ini berasal daripada rumpun yang sama, menggunakan bahasa dan berkongsi budaya yang serupa.

“Selepas setahun tinggal di Malaysia, saya sedar satu perkara yang membuatkan saya malu sendiri.

“Negara ini benar-benar serius memikirkan perkara kecil yang sebenarnya memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyatnya,” katanya.

Menerusi satu video yang dikongsikan, Taufik menyenaraikan beberapa kemudahan yang menarik perhatiannya, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Katanya, bantuan tunai itu disalurkan terus ke akaun penerima tanpa perlu mereka beratur panjang atau menguruskan permohonan secara fizikal.

Walaupun jumlah bantuan yang diterima tidak begitu besar, dia berpendapat pemberian secara berkala membuatkan rakyat berasa dihargai.

“Bantuan tunai terus dimasukkan ke dalam akaun penerima. Tidak perlu beratur di tengah panas atau melalui proses tandatangan yang panjang.

“Semuanya dilakukan secara digital, cepat dan tepat. Jumlah bantuannya mungkin tidak besar, tetapi diberikan secara berkala.

“Perkara itulah yang membuatkan rakyat berasa dihargai,” ujarnya.

Selain bantuan kewangan, Taufik turut menyentuh mengenai kemudahan rawatan di klinik kerajaan yang menurutnya hanya mengenakan bayaran RM1 kepada warganegara.

Dia berpendapat sistem berkenaan membolehkan semua golongan mendapatkan rawatan tanpa mengira kedudukan kewangan.

“Semua orang datang mendapatkan rawatan dan dilayan sama rata, tidak kira kaya atau miskin.

“Di sini, kesihatan dianggap sebagai hak setiap orang, bukannya kemewahan yang hanya mampu dinikmati golongan berada,” katanya.

Taufik turut menyebut program Rumah Mesra Rakyat yang disediakan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Menerusi program itu, sebahagian kos pembinaan rumah ditanggung kerajaan, manakala bakinya dibayar oleh penerima menerusi ansuran bulanan.

“Ada satu program yang dinamakan Rumah Mesra Rakyat. Melalui program ini, kerajaan menanggung sebahagian besar kos pembinaan rumah untuk keluarga yang mahu memiliki kediaman sendiri.

“Bakinya pula boleh dibayar secara ansuran dengan kadar yang lebih ringan.

“Rumahnya mungkin sederhana, tetapi selesa dan mempunyai keperluan asas seperti bumbung, bekalan air serta elektrik.

“Di sini, rumah dilihat sebagai satu keperluan, bukannya untuk menunjuk-nunjuk,” jelasnya.

Perhatian yang diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut menjadi antara perkara yang mendapat pujian Taufik.

Katanya, kemudahan mesra OKU disediakan di pelbagai tempat, termasuk pengangkutan awam yang boleh digunakan oleh semua golongan.

Dia juga menyentuh mengenai bantuan berkala yang disediakan untuk golongan berkenaan.

“Di sini, warga emas dan OKU benar-benar diberikan perhatian.

“Kemudahan mesra OKU seperti kerusi roda boleh didapati di banyak tempat dan pengangkutan awam juga boleh digunakan oleh semua orang.

“Malah, ada bantuan berkala untuk mereka. Warga emas tidak diabaikan dan golongan yang mempunyai kelainan upaya juga tidak diketepikan,” katanya.

Bidang pendidikan turut menjadi perhatian Taufik apabila dia melihat ramai anak muda di Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian serta mengikuti latihan kemahiran menerusi pelbagai bantuan dan program yang disediakan.

Antaranya termasuk kemudahan pembiayaan pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta peluang latihan menerusi institusi seperti MARA.

Baginya, peluang melanjutkan pelajaran bukan lagi sesuatu yang hanya mampu dicapai oleh golongan berada, sebaliknya menjadi salah satu jalan untuk membantu keluarga keluar daripada kemiskinan.

“Jadi, pendidikan tinggi di sini bukan lagi impian mahal, tetapi peluang yang boleh dicapai.

“Ilmu dianggap sebagai jalan keluar daripada kemiskinan, bukannya beban yang perlu ditanggung keluarga.

“Negara ini mengajar saya satu perkara. Kalau mahu maju, kita tidak perlu menunggu sehingga kaya terlebih dahulu,” ujarnya.

Sumber:Facebook
Intipati
  • Taufik mengakui kagum melihat pelbagai bantuan kerajaan Malaysia selepas setahun menetap di negara ini.
  • Beliau menyebut STR, rawatan klinik RM1 dan Rumah Mesra Rakyat antara kemudahan menarik perhatian.
  • Taufik turut memuji perhatian terhadap warga emas, OKU serta peluang pendidikan melalui PTPTN dan MARA.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan