Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Dan Singapura Perkukuh Kerjasama Tenaga, Tumpu Perdagangan Elektrik Rentas Sempadan

tenaga
Kredit: Penguasa Pasaran Tenaga

Malaysia dan Singapura memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor tenaga, termasuk pertukaran kepakaran dan penyelarasan kawal selia antara kedua dua negara.

Pembaharuan itu melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia dan Energy Market Authority (EMA) Singapura, yang pertama kali menandatangani MoU berkenaan pada 2020.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, kedua dua badan pengawal selia itu berkata, pembaharuan MoU berkenaan menjadi satu pencapaian penting ketika mereka menyambut ulang tahun ke 25 penubuhan masing masing pada tahun ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) ke 19 yang bermula pada 26 Oktober dan berlangsung selama empat hari.

Menerusi perjanjian yang diperbaharui itu, kedua dua pihak akan memperkukuh kerjasama teknikal, pertukaran maklumat kawal selia serta perkongsian pengetahuan.

Kerjasama berkenaan meliputi perancangan dan kebolehpercayaan sistem elektrik serta gas berpaip, kawal selia pasaran elektrik borong dan runcit, pelaksanaan projek perdagangan elektrik rentas sempadan, Sijil Tenaga Boleh Baharu (RECs) serta kapasiti sambungan antara sistem tenaga kedua dua negara.

Kedua dua pihak turut berhasrat memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif EMA, Puah Kok Keong berkata, pembaharuan MoU itu merupakan satu lagi langkah dalam kerjasama berpanjangan antara kedua dua agensi.

Menurutnya, mereka berharap dapat bekerjasama dengan lebih rapat dalam perdagangan elektrik rentas sempadan, hubungan sambungan tenaga serantau dan Sijil Tenaga Boleh Baharu.

“Kerjasama ini dapat memudahkan perdagangan elektrik boleh baharu yang lebih meluas, menyokong pelaburan dalam projek tenaga boleh baharu serta memajukan sistem tenaga serantau yang lebih saling berhubung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST, Siti Safinah Salleh berkata, kerjasama erat antara badan pengawal selia amat penting ketika sistem tenaga semakin kompleks.

Katanya, kerjasama itu dapat menyokong bekalan elektrik yang selamat dan boleh dipercayai, selain memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan serta peralihan kepada tenaga lestari.

“ST berharap dapat memperdalam kerjasama dengan EMA melalui pertukaran teknikal, perkongsian pengetahuan dan kerjasama kawal selia demi manfaat bersama kedua dua negara dan rantau ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, EMA pada Ogos lalu memberikan kelulusan bersyarat kepada dua syarikat untuk mengimport 900 megawatt elektrik dari Johor.

Kelulusan itu diberikan kepada Sembcorp Utilities dan syarikat Malaysia, Southern Solar Alliance, bagi projek pembekalan elektrik yang dijana menggunakan tenaga solar serta sistem penyimpanan tenaga bateri di Johor.

Intipati
  • ST dan EMA memperbaharui MoU tenaga yang mula ditandatangani pada 2020.
  • Kerjasama meliputi perdagangan elektrik rentas sempadan, RECs, tenaga solar dan penyimpanan tenaga.
  • EMA memberikan kelulusan bersyarat kepada dua syarikat untuk mengimport elektrik dari Johor.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan