Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MCMC Perkukuh Kerjasama Antara Agensi Bagi Menangani Barangan Dan Perkhidmatan Yang Dilarang Dalam Talian

MCMC
Kredit: MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti tiga hasil utama bagi memperkukuh pengurusan barangan dan perkhidmatan terlarang dalam talian menerusi penganjuran Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian.

MCMC berkata dalam satu kenyataan hari ini, tiga hasil berkenaan merangkumi pembangunan Daftar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian, Garis Panduan Pengalihan Keluar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian serta Garis Panduan Permintaan, Pemeliharaan dan Pendedahan Maklumat bagi Tujuan Siasatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil . Kredit: MCMC

Menurut MCMC, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil telah menyempurnakan perasmian sesi penutupan bengkel berkenaan yang berlangsung dari 27 hingga 29 November 2026.

Bengkel anjuran MCMC itu menghimpunkan wakil daripada 16 kementerian, agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia serta 13 platform e dagang.

Jelas MCMC, penganjuran bengkel tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan ekosistem pasaran digital Malaysia kekal selamat dan diyakini.

Ujarnya, bengkel itu diadakan susulan sesi libat urus MCMC bersama agensi penguatkuasaan pada 6 Oktober 2026 dan penyedia platform e dagang pada 7 Oktober 2026.

Menurutnya, inisiatif berkenaan menjadi langkah ke arah pendekatan yang lebih proaktif dan terselaras, dengan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan, pengesanan awal serta intervensi yang lebih pantas dan berkesan.

Dalam pada itu, MCMC berkata satu Pasukan Petugas Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan hasil bengkel berkenaan berjalan lancar.

Pasukan petugas itu akan melibatkan agensi penguatkuasaan, badan kawal selia serta pihak berkepentingan.

Katanya, pasukan berkenaan bertanggungjawab menyelaras tindakan susulan, memantau pelaksanaan serta menangani cabaran operasi yang timbul dalam pengurusan barangan dan perkhidmatan terlarang dalam talian.

Intipati
  • MCMC mengenal pasti tiga hasil utama bagi mengurus barangan dan perkhidmatan terlarang dalam talian.
  • Bengkel itu menghimpunkan 16 kementerian, agensi dan badan kawal selia serta 13 platform e-dagang.
  • Pasukan petugas akan ditubuhkan untuk menyelaras pelaksanaan dan menangani cabaran operasi berkaitan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan