EXCO Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda mendakwa jawapan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung cara menentang rasuah yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, dilihat mengalihkan perhatian daripada isu pokok.
Beliau berkata, jawapan Onn Hafiz bukan sahaja gagal menjawab persoalan yang dibangkitkan, malah menimbulkan persoalan mengenai dakwaan campur tangan politik serta tanggungjawab institusi keadilan.
“Apabila Ummi bertanya bagaimana generasi muda harus berani menentang rasuah, beliau membangkitkan dakwaan dan jawapan itu mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok yang dibangkitkan.
“Pertama, Onn Hafiz sebenarnya sedang menuduh siapa? Kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak pendakwaan atau beliau turut mempertikaikan kebebasan mahkamah?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fadhli, setiap institusi berkenaan mempunyai tanggungjawab berbeza dan seorang Menteri Besar sepatutnya menyatakan kes yang dimaksudkan, pihak yang dipertanggungjawabkan serta bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.
Katanya, dakwaan serius tanpa penjelasan khusus merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang berpotensi menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan.
Beliau berkata, sekiranya kenyataan itu turut merujuk kepada sabitan terhadap Datuk Seri Najib Razak, Onn Hafiz perlu menyatakan perkara tersebut secara jelas berserta asasnya.
Dalam kes SRC International, katanya, sabitan terhadap Najib telah melalui Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.
“Keputusan kehakiman tidak boleh diketepikan hanya dengan membakulkan semua dalam pendakwaan terpilih,” katanya.
Fadhli turut mengingatkan supaya kes SRC International dibezakan daripada perbicaraan utama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar fakta tidak dicampuradukkan demi kepentingan politik.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa jawapan Onn Hafiz tidak menyentuh inti keresahan Ummi Umairah yang mempersoalkan keberanian pemimpin menentang rasuah serta budaya mempertahankan tokoh politik yang dikaitkan dengan isu berkenaan.
“Mengapa persoalan tentang kebertanggungjawaban dibalas dengan naratif bahawa orang politik sedang menjadi mangsa?” soalnya.
Sehubungan itu, Fadhli menggesa Onn Hafiz menyatakan pendirian yang jelas berhubung pendedahan dan persoalan tatakelola melibatkan Tabung Haji, Felda serta UiTM Holdings.
Ahli Jawatankuasa Amanah Johor itu berkata, laporan dan dapatan berkaitan institusi berkenaan perlu dijawab berdasarkan fakta.
Beliau memberi contoh UiTM Holdings apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilaporkan membangkitkan kelemahan tatakelola serta kegagalan memenuhi mandat pelaburannya.
“Setiap dapatan perlu diteliti dan sebarang salah laku yang dibuktikan mesti disusuli tindakan, tanpa mengira kedudukan atau parti individu terbabit,” katanya.
Fadhli turut mendakwa Onn Hafiz membangkitkan isu campur tangan politik tanpa memperincikan bukti, selain mengelak daripada memberikan pendirian tegas terhadap salah laku yang melibatkan lingkungan politik sendiri.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kesetiaan kepada UMNO telah mengatasi keberanian mempertahankan amanah rakyat.
Beliau menegaskan prinsip keadilan perlu terpakai kepada semua pihak, termasuk melalui siasatan dan pendakwaan berdasarkan bukti sekiranya berlaku kesalahan.
Katanya, kegagalan mengambil tindakan terhadap seseorang tidak bermakna kesalahan pihak lain boleh diketepikan.
“Saya sekali lagi berdiri bersama saudari Ummi Umairah. Mahasiswa berhak menuntut jawapan daripada pemimpin dan mempersoalkan budaya politik yang menormalisasikan rasuah.
“Yang memalukan ialah apabila seorang Menteri Besar diberikan peluang menjawab keresahan anak muda tetapi memilih untuk mengalihkan perbincangan kepada nasib orang politik.
“Onn Hafiz perlu menjawab persoalan tersebut dengan fakta dan pendirian yang jelas. Jangan alih tiang gol wahai MB,” katanya.
Sebelum ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu Najib, yang juga bekas Perdana Menteri, membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Onn Hafiz, program itu turut menampilkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai panel.
Pandangan mahasiswa berkenaan kemudiannya mencetuskan perdebatan di media sosial, termasuk kecaman serta komen berbaur ugutan terhadapnya.

