Sebagai penjaga gol, tugas utama seseorang pemain adalah memastikan bola tidak menembusi gawang sendiri, sekali gus menghalang pasukan lawan daripada memperoleh jaringan.
Namun, penjaga gol juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, malah ada kalanya kesilapan tersebut boleh membawa padah kepada pasukan sendiri.
Itulah yang berlaku kepada penjaga gol kelab Argentina, Ezequiel Bacher apabila dia secara tidak sengaja menjaringkan gol ke gawang sendiri dalam satu perlawanan baru-baru ini.
Insiden itu berlaku ketika Bacher yang mewakili Comunicaciones berdepan Arsenal dalam aksi play-off Primera B Argentina.
Menerusi video yang tular di media sosial, penjaga gol berusia 30 tahun itu pada awalnya dilihat tidak menghadapi masalah untuk menangkap bola hasil percubaan Arsenal sekitar minit ketiga perlawanan.
Ketika pemain kedua-dua pasukan mula meninggalkan kawasan kotak penalti, Bacher pula bersedia untuk melontarkan bola ke arah rakan sepasukannya.
Penjaga Gol Terjaring Gol Sendiri

Bagaimanapun, ketika itulah satu insiden tidak dijangka berlaku apabila bola yang dilontarkannya tiba-tiba melantun semula ke arah gawang sendiri.
Kesilapan itu sekali gus memberikan gol pendahuluan kepada Arsenal meskipun tiada pemain lawan yang menyentuh bola tersebut.
Berdasarkan rakaman berkenaan, Bacher dipercayai tidak melepaskan bola pada waktu yang tepat sehingga menyebabkan lontarannya itu gagal dilakukan dengan sempurna.
Menyedari kesilapan tersebut, Bacher hanya mampu menutup muka sebelum mengambil semula bola dari dalam gawang dan melontarkannya ke tengah padang.
Menariknya, pemain Arsenal tetap dilihat meraikan jaringan tersebut walaupun gol berkenaan terhasil daripada kesilapan penjaga gol lawan.
Bagaimanapun, Comunicaciones berjaya menyamakan kedudukan tidak lama kemudian sebelum Arsenal kembali menguasai permainan dengan dua jaringan tambahan.
Perlawanan itu akhirnya menyaksikan Arsenal menewaskan Comunicaciones dengan keputusan 3-2.

