Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Prabowo Mohon Maaf Di Hadapan Pemimpin ASEAN, Akui Jerebu Akibat Kebakaran Hutan Jejas Malaysia Dan Singapura

Prabowo Mohon Maaf
Kredit: Sekreteriat Presiden

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, memohon maaf atas kebakaran hutan dan tanah di negaranya yang turut menjejaskan penduduk Singapura serta Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Indonesia sedang melakukan segala usaha terbaik bagi menangani masalah kebakaran yang berlaku.

Perkara itu disampaikan ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, pada Ahad (15 November 2026).

Prabowo turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang terlibat dalam kes kebakaran hutan.

Prabowo Mohon Maaf Di Hadapan Pemimpin ASEAN

Kredit: AFP

Menurutnya, pelbagai tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan termasuk pembatalan lesen pengusahaan hutan serta tindakan undang-undang terhadap syarikat yang dipercayai bertanggungjawab.

“Kami sudah membatalkan 17 lesen pengusahaan syarikat. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat, 11 syarikat sudah didakwa dan 23 lagi dalam senarai untuk didakwa.

“Secara keseluruhan, sebanyak 104 syarikat sedang disiasat oleh pihak polis,” katanya menerusi kenyataan Pejabat Presiden pada Ahad malam.

Di hadapan pemimpin negara anggota ASEAN, Prabowo turut memaklumkan bahawa Indonesia sudah mengerahkan pelbagai usaha bagi mengawal kebakaran hutan yang berlarutan hampir empat bulan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kesan jerebu yang merentasi sempadan turut dirasai penduduk di Malaysia dan Singapura.

Jelasnya, kerajaan Indonesia sudah mengerahkan seramai 71,000 anggota bomba hutan bagi menangani bencana tersebut.

Operasi memadam kebakaran itu turut mengorbankan 16 anggota, manakala beberapa yang lain cedera serta dua helikopter musnah.

“Kami sudah mengerahkan 71,000 anggota bomba hutan. Seramai 16 anggota terkorban dan ramai lagi cedera ketika memadamkan kebakaran.

“Kami juga kehilangan dua buah helikopter,” jelasnya.

Dalam pada itu, Prabowo menegaskan bahawa pendekatan menangani kebakaran hutan perlu diubah daripada hanya menumpukan usaha memadamkan api dan mengurangkan kesannya.

Sebaliknya, beliau mahu kerajaan melaksanakan langkah pencegahan secara lebih terancang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kerajaan Indonesia kini sedang merancang penubuhan sebuah badan baharu serta beberapa program bagi memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan pada masa hadapan.