Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, memaklumkan keputusan mengenai calon naib presiden baharu akan dibuat selepas beliau selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina dan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di China.
Prabowo berkata, beliau akan berkunjung ke Manila bagi menghadiri agenda ASEAN sebelum meneruskan lawatan ke Shenzhen, China.
“Tujuan saya ke Manila adalah untuk menghadiri agenda ASEAN, bukannya bersiar siar. Dari Manila, saya akan meneruskan lawatan ke Shenzhen, China. Selepas itu, barulah saya akan membuat keputusan mengenai calon naib presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tanwir Muhammadiyah 2026 sempena sambutan ulang tahun ke 114 pertubuhan itu di Palu, Sulawesi Tengah, pada Sabtu, 14 November.
Apa yang menarik perhatian, Prabowo turut menyatakan beliau memerlukan ‘bisikan daripada Tuhan Yang Maha Esa’ bagi menentukan individu paling sesuai untuk menggantikan Gibran Rakabuming Raka.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebarang nama atau kriteria khusus mengenai individu yang bakal dipilih untuk mengisi jawatan berkenaan.
Kenyataan itu disampaikan pada penghujung ucapannya ketika beliau menyentuh mengenai jadual tugas yang padat dalam tempoh terdekat.
Menurut Prabowo, beliau bersama barisan menteri kabinet tidak mempunyai hari cuti kerana perlu meneruskan tugasan sehingga tengah malam sebelum kembali bekerja seperti biasa pada keesokan harinya.
“Bagi kami, tiada masa untuk berehat,” katanya.
Mengikut Perkara 8 Perlembagaan 1945 Indonesia, sekiranya jawatan naib presiden kosong, Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) perlu bersidang dalam tempoh 60 hari bagi memilih pengganti daripada dua calon yang dikemukakan oleh presiden.
Sementara itu, Undang Undang Nombor 17 Tahun 2014 mengenai institusi perundangan menetapkan calon yang dikemukakan bagi mengisi kekosongan jawatan naib presiden perlu berasal daripada parti politik atau gabungan parti yang menyokong pasangan presiden dan naib presiden pemenang Pilihan Raya 2024.
Proses penggantian itu menyusul selepas Gibran mengemukakan peletakan jawatannya pada Khamis.
Beliau pada awalnya menyerahkan kenyataan bertulis kepada Prabowo sebelum menyerahkan sendiri surat peletakan jawatan kepada barisan pimpinan MPR.
Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan mengenai kelayakan Gibran susulan latar belakang kelayakan pendidikan sekolah menengahnya.

