Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suka Buka Peti Sejuk Walaupun Tak Lapar? Ini Penjelasannya Dari Sudut Psikologi

buka peti sejuk
Gambar Hiasan

Anda ada tabiat dimana anda suka buka peti sejuk berulang kali walaupun baru sahaja memeriksa isinya beberapa minit lalu?

Lebih pelik, anda mungkin tidak rasa lapar, tetapi tetap berharap ada sesuatu yang menarik untuk dimakan.

Situasi ini mungkin biasa berlaku, terutamanya ketika berada di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti.

Ada kalanya, kita buka peti sejuk sekadar untuk melihat-lihat, sebelum menutupnya semula tanpa mengambil apa-apa makanan.

Namun, tahukah anda bahawa rasa bosan mungkin menjadi antara faktor yang mempengaruhi keinginan seseorang untuk makan?

Rasa Bosan Boleh Pengaruhi Keinginan Untuk Makan

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychology pada 2015, rasa bosan boleh mempengaruhi pemakanan seseorang dalam keadaan tertentu.

Kajian bertajuk Eaten Up by Boredom: Consuming Food to Escape Awareness of the Bored Self membuktikan yang kebosanan dengan pengambilan makanan memang berkait rapat.

Hasil kajian mendapati bahawa kebosanan mempunyai kaitan dengan pengambilan kalori dan beberapa jenis nutrien.

Dalam keadaan tertentu, perasaan tersebut turut mempengaruhi kecenderungan peserta untuk memilih makanan ringan.

Ini membuktikan keinginan untuk makan tidak semestinya berpunca daripada rasa lapar secara fizikal.

Sebaliknya, keadaan emosi dan pengalaman seseorang juga boleh memainkan peranan dalam tingkah laku pemakanan.

Makan Untuk Hilangkan Bosan

Apabila tiada aktiviti yang menarik untuk dilakukan, sesetengah orang mungkin lebih gemar mencari sesuatu yang dapat mengisi masa lapang mereka.

Makanan boleh menjadi salah satu pilihan kerana aktiviti makan memberikan rangsangan dan keseronokan sementara.

Keadaan ini mungkin menjelaskan mengapa ada yang memilih untuk mencari makanan ketika menonton televisyen, skrol telefon atau duduk bersendirian tanpa melakukan apa-apa.

Dalam situasi tertentu, tindakan membuka peti sejuk berulang kali juga mungkin menjadi sebahagian daripada rutin tersebut.

Walau bagaimanapun, kajian berkenaan tidak secara khusus mengkaji tabiat membuka peti sejuk, jadi hubungan itu tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan langsung daripada penyelidikan tersebut.

Adakah Anda Suka Buka Peti Sejuk Kerana Benar-Benar Lapar?

Sebelum mengambil makanan, anda boleh cuba bertanya kepada diri sendiri sama ada anda suka buka peti sejuk kerana benar-benar lapar atau sekadar ingin melakukan sesuatu kerana bosan.

Rasa lapar secara fizikal lazimnya berkembang secara perlahan, manakala keinginan untuk makan akibat emosi atau kebosanan mungkin timbul mengikut situasi tertentu.

Namun, kedua-duanya boleh bertindih dan pengalaman setiap individu berbeza.

Jika anda mendapati diri kerap buka peti sejuk ketika tiada aktiviti, mencuba perkara lain seperti berjalan sebentar, membaca atau melakukan hobi mungkin membantu mengalihkan perhatian.

Tabiat ini mungkin dilihat seperti perkara kecil. Namun, ia boleh menjadi peluang untuk kita memahami hubungan antara emosi, kebosanan dan tingkah laku harian dengan lebih baik.

Sumber:Frontiers
Intipati
  • Kajian 2015 mengaitkan kebosanan dengan pengambilan kalori dan pilihan makanan ringan.
  • Keinginan makan tidak semestinya berpunca daripada lapar fizikal, tetapi boleh dipengaruhi emosi.
  • Artikel mencadangkan aktiviti seperti berjalan, membaca atau hobi untuk mengalihkan perhatian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan