Bagi sesetengah orang, tempat duduk di tepi tingkap ialah pilihan utama setiap kali membuat tempahan perjalanan.
Malah, mereka tidak keberatan untuk mengeluarkan duit lebih asalkan dapat duduk di tempat yang diinginkan.
Menariknya, kecenderungan ini bukan sekadar soal menikmati pemandangan sepanjang perjalanan, malah mungkin berkait dengan aspek psikologi seseorang.
Menurut portal Times of India, terdapat beberapa penjelasan psikologi yang boleh membantu memahami mengapa seseorang gemar memilih tempat duduk di tepi tingkap.
Dunia Kecil Milik Anda Sendiri
Selain faktor keselesaan, tempat duduk di tepi tingkap juga menawarkan suasana yang lebih tenang kerana penumpang mempunyai dinding di sekurang-kurangnya satu sisi.
Bagi mereka yang gemar tidur semasa perjalanan, dinding tersebut membolehkan mereka bersandar dengan lebih selesa. Mereka juga boleh membaca buku atau mendengar lagu sambil menikmati sedikit ketenangan.
Keadaan ini membolehkan penumpang menikmati sedikit privasi walaupun berada di ruang yang dipenuhi orang ramai.
Dari sudut psikologi, tindak balas seseorang terhadap persekitaran boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keperluan ruang peribadi, kesesakan dan bunyi bising.
Bagi sesetengah penumpang, tempat duduk di tepi tingkap mungkin membuatkan mereka berasa kurang terdedah kepada orang di sekeliling. Ketika berada dalam perjalanan yang sesak, kedudukan ini boleh memberikan rasa lebih selesa dan tenang.
Tingkap Itu Wayang Peribadi Anda
Daya tarikan tempat duduk di tepi tingkap juga terletak pada pemandangan diluarnya.
Matahari terbenam di atas awan, pemandangan tempat lapang yang menghijau atau sungai yang berliku-liku boleh menjadi satu-satunya hiburan sepanjang jalan yang jauh.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psychological Science, melihat alam semula jadi boleh membantu merehatkan minda dan memulihkan tumpuan, berbeza dengan persekitaran bandar yang sering membuatkan seseorang perlu memberikan lebih banyak perhatian kepada keadaan sekeliling.
Tidak dinafikan lagi, melihat awan dari kapal terbang tidak sama seperti menghabiskan masa di dalam hutan dan pemandangan tingkap bukan selalunya menjaminkan setiap perjalanan menjadi santai.
Namun begitu, interaksi dengan awan dan matahari yang menggantikan skrin sepanjang perjalanan, adalah kurang merangsangkan dan jauh lebih menenangkan.
Tempat Duduk Di Tepi Tingkap Dapat Menjadikan Perjalanan Terasa Seperti Sebahagian Dari Percutian
Mungkin perkara yang menyeronokkan tentang tempat duduk di tepi tingkap ialah bagaimana ia mengubah pengalaman pergi ke suatu tempat.
Penerbangan yang biasa pun boleh menjadi suatu yang tidak dapat dilupakan apabila langit bertukar warna ketika matahari terbit dan juga terbenam.
Bagi pelancong yang gemar memerhati dunia, perkara kecil seperti menikmati pemandangan sepanjang perjalanan juga boleh menjadi pengalaman yang bermakna, sama seperti destinasi yang dituju.
Anda bukan sekadar melalui sesuatu tempat, tetapi turut menyaksikan perubahan pemandangan di sepanjang perjalanan.
Jadi, Adakah Tempat Duduk Pilihan Anda Mencerminkan Diri Anda?
Jika anda sentiasa memilih tempat duduk di tepi tingkap, anda mungkin menghargai pemandangan, sedikit privasi, ruang peribadi atau sekadar berasa seronok melihat dunia berlalu.
Anda juga mungkin seorang yang gemar menjadikan masa perjalanan sebagai masa yang tenang.
Apa jua alasan anda, ada sedikit keseronokan apabila dunia ini dibingkaikan khas untuk anda. Dan kadangkala, pemandangan itu berbaloi dengan harga tempat duduk itu.

