Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Bumi Gegar Los Angeles, Tingkap Lapangan Terbang Pecah, Pesawat Terpaksa Batalkan Pendaratan

gempa
Tangkap layar detik kapal terbang terpaksa batalkan pendaratan susulan getaran gempa bumi. Kredit: ynetnews

Gempa bumi bermagnitud 5.0 menggegarkan kawasan Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada pagi Sabtu sehingga menyebabkan tingkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX) pecah dan sebuah pesawat penumpang terpaksa membatalkan pendaratan.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk selain mengganggu operasi lapangan terbang berkenaan buat sementara waktu.

Situasi menunjukkan tingkap bergoncang kuat akibat gempa bumi. Kredit: X EricLDaugh

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada jam 9.30 pagi waktu tempatan, kira kira lima kilometer ke barat daya Manhattan Beach, pada kedalaman sekitar 12 kilometer.

Sekurang kurangnya empat gegaran susulan bermagnitud antara 2.5 hingga 3.7 direkodkan dalam tempoh 45 minit selepas kejadian utama.

Kira kira dua jam kemudian, satu lagi gegaran susulan bermagnitud 4.5 melanda kawasan berkenaan.

Datuk Bandar Los Angeles yang akan menamatkan perkhidmatannya, Karen Bass, menggesa penduduk supaya bersedia menghadapi kemungkinan gegaran susulan dalam beberapa jam atau hari berikutnya.

Bagaimanapun, tiada amaran perjalanan dikeluarkan susulan kejadian itu.

Jabatan Bomba Los Angeles mengaktifkan prosedur tindak balas gempa bumi dengan menggerakkan anggota dari kesemua 106 balai bomba di kawasan kejiranan bagi menilai kemungkinan kerosakan terhadap infrastruktur.

Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan besar atau kecederaan dilaporkan.

Bagaimanapun, rakaman yang tular di media sosial menunjukkan keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles apabila serpihan jatuh dari siling di kawasan penumpang menunggu bersama bagasi masing masing.

Selain itu, beberapa keping gambar turut menunjukkan tingkap besar di lapangan terbang berkenaan pecah, manakala penggera kedengaran berbunyi di dalam terminal.

Dalam satu lagi rakaman yang disiarkan menerusi Airline Videos Live, sebuah pesawat penumpang dilihat sedang menghampiri landasan sebelum kamera siaran langsung mula bergegar.

Pengawal trafik udara kemudian mengarahkan pesawat berkenaan membatalkan pendaratan dan melakukan pusingan semula sebelum naik kembali ke udara.

Pengawal trafik udara turut memaklumkan kepada kru penerbangan Delta 1972 bahawa kawasan berkenaan sedang mengalami gempa bumi kuat.

Menurut laman penjejakan penerbangan FlightAware, pesawat itu kemudian terbang melepasi kawasan Malibu dan pusat bandar Los Angeles sebelum selamat mendarat pada jam 10.01 pagi.

Sementara itu, seorang penduduk Lomita, Teresa Macias, 66, berkata, kediamannya mula bergegar ketika dia baru bangun tidur dan sedang menyediakan kopi.

Menurutnya, beberapa botol hiasan terjatuh ke lantai manakala anjing peliharaannya yang ketakutan keluar dari bawah katil.

Katanya, walaupun sudah biasa berdepan kejadian gempa bumi kerana menetap di California, gegaran kali ini dirasakan lebih kuat daripada kebiasaan.

“Gegaran kali ini benar benar menarik perhatian semua orang. Ia satu sentakan yang kuat,” katanya kepada Associated Press.

Penyelidik geofizik Institut Teknologi California (Caltech), Lucy Jones, berkata, kedalaman pusat gempa yang agak tinggi menyebabkan kerosakan besar tidak dijangka berlaku.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan gempa bumi itu luar biasa kuat bagi kawasan Los Angeles dan dipercayai menjadi kejadian pertama bermagnitud 5.0 atau lebih tinggi di wilayah berkenaan sejak 2014.

Pada tahun berkenaan, gempa bumi bermagnitud 5.1 melanda berhampiran Brea di Orange County.

Ketua Rangkaian Seismik California Selatan, Allen Husker pula menjelaskan, gempa bumi pada Sabtu berlaku di luar pesisir pantai pada kedalaman lebih tinggi berbanding kejadian pada 2014, sekali gus menyebabkan gegaran dan kerosakan yang kurang kuat.

Kejadian itu turut menyusul selepas beberapa gegaran lebih kecil direkodkan di California sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut CNN, tiga gempa bumi bermagnitud sekitar 3.0 direkodkan sepanjang minggu lalu, termasuk satu kejadian berhampiran kawasan luar pesisir Manhattan Beach.

Jones berkata, gegaran berkenaan merupakan gempa awal yang mendahului kejadian lebih kuat pada Sabtu.

Selain itu, satu lagi gempa bumi bermagnitud 3.9 turut melanda berhampiran Commerce, dalam kawasan metropolitan Los Angeles pada 20 November.

Untuk rekod, California sememangnya kerap mengalami aktiviti seismik dan pakar geologi memberi amaran bahawa gempa bumi kuat yang berpotensi menyebabkan kemusnahan besar boleh berlaku di negeri itu dalam beberapa dekad akan datang.

Pada 1994, gempa bumi bermagnitud 6.7 melanda Northridge, di barat laut pusat bandar Los Angeles sehingga mengorbankan 57 nyawa dan menyebabkan kerugian harta benda dianggarkan AS$40 bilion.

Sementara itu, gempa bumi bermagnitud 6.9 yang melanda kawasan Teluk San Francisco pada 1989 mengorbankan 63 orang.

Intipati
  • Gempa bumi bermagnitud 5.0 melanda Los Angeles pada pagi Sabtu berhampiran Manhattan Beach.
  • LAX mengalami gangguan sementara, termasuk tingkap pecah dan sebuah pesawat membatalkan pendaratan.
  • Pemeriksaan awal pihak bomba mendapati tiada kerosakan besar atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan