Keprihatinan seorang lelaki yang sanggup turun mencangkul di tepi jalan ketika hujan lebat demi membantu mengatasi masalah air bertakung mengundang perhatian pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads, isterinya yang dikenali sebagai ezzahibrahim berkongsi tindakan suaminya yang membeli sebuah cangkul kecil di kedai Mr DIY sebelum melakukan kerja berkenaan di hadapan stesen minyak Petronas, Jalan Tampin.
Menurutnya, kawasan tersebut sering mengalami masalah air bertakung setiap kali hujan lebat sehingga mendorong suaminya mengambil inisiatif untuk membantu melancarkan aliran air.

“Pergi Mr DIY semata mata untuk membeli cangkul kecil. Apabila ditanya mahu buat apa, dia memberitahu ingin melakukan kerja kebajikan kerana kawasan hadapan Petronas, Jalan Tampin ini sering bertakung air apabila hujan lebat.
“Kebetulan ketika itu hujan sedang turun dengan lebat. Saya hanya memantau dari dalam kereta sementara dia melakukan kerja tersebut dengan menaiki motosikal.
“Semoga murah rezeki dan segala urusan suami saya sentiasa dipermudahkan,” kongsinya.
Dalam hantaran susulan, ezzahibrahim berkata, dia tidak menyangka perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai sehingga menerima pelbagai doa dan kata kata positif daripada pengguna media sosial.
Katanya, dia sendiri berasa bimbang melihat suaminya melakukan kerja berkenaan ketika hujan lebat, ditambah pula dengan keadaan cuaca yang disertai kilat.
Namun, suaminya tetap berkeras untuk melakukannya kerana sudah lama berdepan masalah air bertakung di kawasan tersebut.
“Sejujurnya, saya turut risau apabila melihat dia mahu mencangkul dan mengalihkan tanah petang tadi kerana hujan sedang turun dengan lebat, malah ada kilat.
“Saya bimbang pengguna jalan raya tidak nampak dia yang berada di tengah tengah kawasan jalan.
“Namun, dia tetap mahu melakukannya kerana sudah lama berdepan masalah jalan yang sering dinaiki air.
“Mungkin masalah air bertakung itu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, tetapi sekurang kurangnya air boleh mengalir keluar dengan lebih cepat,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata rata pengguna turut memuji keprihatinan lelaki berkenaan selain menitipkan doa agar urusannya sekeluarga sentiasa dipermudahkan.
“Bagusnya. Jaga diri selalu kamu berdua dan jaga kesihatan,” kata erinaamici.
Seorang lagi pengguna, _aemanhkim berkata, dia turut melihat lelaki berkenaan mencangkul di kawasan tersebut pada petang sebelumnya ketika dalam perjalanan.
“Semoga dipermudahkan segala urusan pak cik sekeluarga di dunia dan akhirat. Semoga sentiasa diberikan kesihatan, orang baik,” tulisnya.
Sementara itu, makeupbylindashaadan turut berkongsi pengalaman melihat lelaki berkenaan melakukan kerja tersebut ketika hujan lebat dalam perjalanan menuju ke Rembau.
Katanya, tindakan itu membuatkannya terdetik untuk mendoakan agar segala urusan lelaki berkenaan dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.
Dalam pada itu, carlberto90s turut menggambarkan keadaan hujan yang sangat lebat ketika kejadian apabila kebanyakan kenderaan menggunakan pengelap cermin pada kelajuan tinggi dan memasang lampu.
Seorang pengguna lain, my.personal.view pula menyifatkan setiap usaha yang dilakukan untuk membantu melancarkan aliran air itu sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan pahala.

