Siakap Keli
Kredit gambar: Shafinaz Suhaimi

”Takde Pun Orang Nak Beli…“ Cari Rezeki Jual Belon Di Stesen Minyak, Gadis Ajak Netizen Sokong Bisnes Pakcik Ni

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di kala pandemik COVID-19 yang mencengkam ekonomi hari ini, bermacam-macam cara digunakan bagi mendapatkan sumber kewangan.

Lebih menyedihkan lagi, sebahagian besar mereka yang terkesan adalah daripada yang telah dibuang kerja, sama ada disebabkan pengecilan kakitangan syarikat mahupun kelumpuhan operasi.

Baru-baru ini, seorang warga Twitter, Shafinaz Suhaimi berkongsi satu ciapan tentang seorang individu dipercayai warga emas yang ‘berikhtiar hidup’ menjual belon di sebuah stesen minyak.

Kredit gambar: Shafinaz Suhaimi

Berdasarkan ciapan tersebut, lokasi kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak PETRONAS di sekitar Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Bertindak atas dasar simpati, Shafinaz menyeru kepada mana-mana orang awam yang sudi untuk membeli belon-belon tersebut sebagai usaha membantu jualannya.

“Kepada mereka yang tinggal di Johor Bahru (JB), tolong bantu pakcik ni. Belilah belon daripada dia, bagi kepada anak buah dan sebagainya. PETRONAS di kawasan Tampoi.

“Aku kesian sebab tiada pun orang nak beli. Masa tu sudah jam 10 malam. Tiada pun orang yang berhenti nak beli.

“Jadi aku buat keputusan beli dan tanya berapa harga, dia jawab ‘bagi seikhlas hati’,” katanya dalam ciapan tersebut.

Kredit gambar: Shafinaz Suhaimi

Sehubungan itu, Shafinaz turut memohon ihsan dan bantuan warga Twitter untuk ‘retweet’ sebanyak mungkin ciapannya itu.

Bagi warga maya yang ingin membantu, mungkin boleh buat carian di aplikasi Google Maps atau Waze ‘PETRONAS KM 11 Jalan Skudai, Johor Bahru’.

Menurutnya lagi, individu yang digelar ‘Pakcik’ tersebut bukan sahaja rajin mencari rezeki, malah juga begitu mesra dengan orang ramai yang menyapanya.

Dikatakan belon-belonnya juga dibuat dengan cantik sekali.

Kuasa warganet

Alhamdulillah, hasil ‘retweet’ yang tersebar luas di Twitter, Shafinaz berkata sudah ada seseorang yang sudi membantu jualannya.

Semoga perniagaan kecil-kecilan ‘Pakcik’ tersebut laris serta mendapat perhatian orang awam yang singgah di stesen minyak tersebut. Terima kasih warga Twitter.

Sumber: Shafinaz Suhaimi

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'