Putrajaya, 3 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca bahaya sehingga hari esok.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, negeri yang terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Amaran tahap merah (bahaya) telah dikeluarkan di beberapa tempat di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih manakala Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu. Kawasan-kawasan ini dijangka ditimpa hujan yang sangat lebat secara berterusan sehingga 4 Disember esok.
Amaran tahap jingga (buruk) pula telah dikeluarkan di Tanah Merah dan Machang di Kelantan serta Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu. Kawasan terlibat dijangka bakal menerima hujan lebat berterusan bagi tempoh yang sama.
Sementara itu, amaran tahap kuning telah dikeluarkan meliputi keseluruhan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian kawasan di Perak (Hulu Perak). Amaran itu berkuatkuasa sehingga hari ini.
Bagaimanapun, amaran hujan lebat dijangka berlaku sehingga esok di Jeli dan Kuala Krai (Kelantan) serta Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin (Pahang).
#hujanlebatmetmalaysia#metmalaysia
Posted by Malaysian Meteorological Department on Thursday, December 3, 2020
Sumber: MetMalaysia