Siakap Keli
Kredit: Bernama

“Apa Yang Jadi Semalam Memang Tidak Dijangka,” Peniaga Pasar Besar Kedai Payang Rugi Ratusan Ribu Akibat Banjir Kilat

KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) — Selepas perniagaan merosot akibat COVID-19, nasib kira-kira 20 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (tempat letak kereta) kini ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, apabila kedai mereka dilanda banjir kilat malam tadi sehingga memusnahkan barangan kedai.

Seorang peniaga pakaian Arif Mohd, 37, berkata sebelum ini perniagaannya mengalami kekurangan pelanggan disebabkan COVID-19, dan kini terpaksa menanggung kerugian lebih RM130,000 apabila kebanyakan barangan di tiga buah kedainya rosak, selepas ditenggelami air sedalam satu meter.

“Pada pukul 10 malam semalam, air melimpah laju masuk ke dalam kedai, sehingga kami tidak sempat menyelamatkan barangan yang diletakkan di bahagian bawah. Saya cuba tutup pintu bagi menghalang air masuk ke kedai tetapi tidak dapat kerana air sangat deras.

“Ini pun kami sudah lakukan persiapan menghadapi banjir sejak dua minggu lepas dengan menaikkan barangan kedai setinggi satu meter. Apa yang jadi semalam memang tidak dijangka langsung,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di tingkat bawah tempat letak kereta pasar tersebut di sini hari ini.

Beliau bercadang untuk membasuh semula barangan yang ditenggelami air seperti jubah, kain pelikat dan songkok serta menjualnya dengan harga yang murah, selain menderma sebahagiannya kepada masjid dan surau yang berdekatan.

Sementara itu seorang lagi peniaga kedai pakaian Azahar Jaafar, 49, berkata beliau bercadang untuk menderma pakaian dan kelengkapan yang ditenggelami air seperti jubah lelaki, sejadah dan telekung, ke pusat-pusat tahfiz di sekitar negeri ini.

“Baju-baju dan sejadah itu akan dihantar ke kedai dobi terlebih dahulu. Saya memang tidak berniat untuk menjual barang itu semula,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM30,000 akibat banjir malam tadi.

Katanya meskipun hasil jualan merosot 70 peratus sejak penularan COVID-19 dan kini ditambah pula dengan kerugian akibat banjir, beliau reda dengan situasi yang dihadapi dan berharap kejadian tersebut tidak akan berulang lagi.

Dalam perkembangan sama, seorang peniaga barangan telekomunikasi dan elektronik mengalami kerugian antara RM200,000 dan RM250,000, apabila premisnya di Jalan Sultan Omar di sini dimasuki air setinggi kira-kira 0.5 meter.

Yusrahimi Yusoff, 40, berkata lebih memburukkan keadaan terdapat stok barangan yang baharu tiba tidak sampai sebulan seperti set komputer dan sebuah mesin fotostat berharga RM35,000 turut musnah.

“Memang tidak sangka air naik sampai masuk ke dalam kedai, kerana sebelum ini banjir terburuk pada 1999 pun air hanya naik di luar kedai,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar Kuala Terengganu mendapati kebanyakan premis perniagaan seperti di Jalan Sultan Omar dan Jalan Syed Hussein tidak beroperasi hari ini, dan para pekerja sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.