Siakap Keli
Gambar: Bernama

KPDNHEP WPKL Rampas Cermin Mata, Topi Tiruan Bernilai RM1.5 Juta

KUALA LUMPUR, 3 Dis  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 36,722 unit cermin mata dan topi tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di dua premis di sekitar Chow Kit hari ini.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata serbuan pada 1.30 petang itu dilakukan susulan laporan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang.

Beliau berkata pemeriksaan telah dilakukan di sebuah pusat pemborong di Lorong Haji Taib yang dikesan memiliki cermin mata dan topi disyaki menggunakan cap dagangan palsu dari jenama terkenal.

“Hasil soal siasat terhadap penjaga premis membawa kepada penemuan satu premis yang dijadikan stor di Jalan Raja Laut dan digunakan untuk menyimpan barangan berkenaan sebelum dijual,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Ariffin, barangan terbabit dijual secara dalam talian atau secara borong kepada pelanggan di seluruh negara.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu menjual atau menawarkan jualan barang-barang yang cap dagangan dipakai dengan salah merujuk kepada cap dagang berdaftar.

Semasa serbuan, seorang wanita yang juga penjaga premis berkenaan memberitahu Bernama cermin mata tiruan berjenama terkenal mendapat sambutan pembeli walaupun berharga antara RM150 hingga RM200  seunit.

Sementara itu, Ariffin berkata sepanjang Januari hingga hari ini, sebanyak 45 kes dicatatkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM4.8 juta di Kuala Lumpur.

“KPDNHEP memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana orang supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan,” katanya.

Sumber: BERNAMA