Siakap Keli

(Video) Berita Tergempar: Apa Jadi Dengan Kampong Pisang? Misteri Bakal Terjawab

Ramai yang pastinya rindu nak dengar berita tentang Kampong Pisang bukan?

Kini anda boleh melepaskan rindu tersebut sebabnya, Astro akan membawakan francais filem blockbuster nombor satu tanah air ke skrin televisyen dalam bentuk drama bersiri premium jenama ‘Astro Originals, bertajuk “Kampong Pisang Bersiri-Siri”, arahan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21  iaitu saudara Mamat Khalid.

Drama “Kampong Pisang Bersiri-siri” ini bakal membawakan kisah penduduk Kampung Pisang yang kerap kali dilanda pelbagai misteri serta masalah. Ada sahaja yang datang mengganggu penduduk kampung setiap minggu.

Untuk drama bersiri ini, terdapat pelbagai makhluk ganjil yang melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Kampong Pisang ini antaranya ialah hantu sungai, alien, orang minyak, zombi hantu Kak Limah dan banyak lagi.

Setiap penceritaan dan adegan pastinya akan membuatkan anda berasa tidak kering gusi dengan segala telatah yang dihidangkan dalam cerita ini.

Drama yang berdurasi selama satu jam ini bakal menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais yang terdahulu. Antara watak-watak yang terlibat adalah Pak Jabit, dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah Balik Rumah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) serta watak Barkoba daripada 16 dan 17 puasa.

Bagi watak penduduk tetap Kampung Pisang, ia akan dijayakan oleh Kazar Sairi, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Aziz M. Osman, Mat London, Avaa Vanja, Nazeera Sardi dan ramai lagi.

Bukan itu sahaja, penonton juga bakal menyaksikan penampilan khas barisan selebriti popular tanah air secara bergilir-gilir pada setiap minggu sepanjang 12 episod siri ini bersiaran antaranya ialah Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Delimawati, Ozlynn, Soffi Jikan, Joey Daud, Kamarool Hj Yusof, Imuda, TJ Isa, Adam AF, Azlan Komeng, Ayie Hushairi, Faizal
Chal, Nasir Jani, Soya dan Shuk Sahar.

Pada anda yang tak sabar dan nak tahu misteri yang bakal terjawab dalam drama “Kampong Pisang Bersiri-Siri” ini, saksikannya pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di saluran Astro Citra.

Selain di kaca televisyen, anda juga boleh turut menontonnya secara strim di platform Astro GO atau On Demand.

Anda juga boleh turut ikuti info serta klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.



Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.