Seorang ibu bertindak mencacah tatu salah seorang daripada bayi kembarnya dipercayai kerana sukar membezakan mereka berdua, lapor Mirror UK.
Wanita berusia 31 tahun itu dikatakan bertujuan untuk membezakan kedua-dua anaknya, Adam dan Jack yang dilahirkan selepas lima tahun penantian.
Menurut portal itu, salah seorang kembar, Jack mempunyai keadaan kesihatan yang membuatkannya memerlukan suntikan sekali seminggu. Justeru, tindakan mentatu bayi itu dikatakan bagi memastikan bayi itu mendapat pemantauan sepatutnya.
Wanita itu memutuskan sedemikian susulan tindakan ibu mentuanya yang dikatakan telah tersilap menyuntik ubat kepada bayi yang salah (Adam) semasa menjaganya ketika dia sedang bekerja.
“Dia berikan suntikan kepada anak yang salah. Dia segera perasan kesilapannya, dail 911 dan mereka telah dibawa ke hospital,” katanya.
“Ketika saya sampai, Adam telah diberikan agen pembalikan dan mereka berdua sedang gembira meminum jus.
“Dia tidak berada dalam bahaya. Ia adalah ubat yang bertindak lambat, paling teruk pun akan menyebabkannya cirit birit dalam masa beberapa hari.
“Saya cuba meredakan kerisauannya, tetapi ibu mentua menolak untuk menjaga mereka jadi kami hantar ke pusat jagaan kanak-kanak,” ujarnya.
Jelas wanita itu, dia dan suaminya juga kadangkala menghadapi kesukaran untuk membezakan mereka berdua.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya, doktor menyarankan agar kembar itu diberikan tatu perubatan di kawasan kulit yang mudah dilihat.
Proses pentatuan itu akan dilakukan di bawah pengaruh ringan ubat penenang. Tanda itu dipercayai akan hilang dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas kedua-dua mereka dijangka akan mempunyai ciri peribadi masing-masing.
Sumber: Mirror UK